AS beri kata dua kepada pelarian Afghanistan

AS beri kata dua kepada pelarian Afghanistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk memberi pilihan sukar kepada bekas sekutu warga Afghanistan yang kini terkandas di Qatar, sama ada berhijrah ke Republik Demokratik Congo (DRC) yang dilanda perang atau pulang ke tanah air mereka yang kini diperintah Taliban.

Pendedahan itu dibuat oleh seorang aktivis pada Selasa, susulan tindakan pentadbiran Presiden Donald Trump yang menjadikan langkah keras terhadap imigresen sebagai dasar utama kerajaan. Pihak berkuasa telah menetapkan tarikh akhir pada 31 Mac ini untuk menutup kem di sebuah bekas pangkalan AS di Qatar yang menempatkan lebih 1,100 warga Afghanistan.

Kumpulan pelarian ini sebelum ini ditempatkan di pangkalan tersebut untuk proses dokumentasi bagi berpindah ke AS. Mereka melarikan diri kerana bimbang penganiayaan oleh Taliban selepas pernah berkhidmat dengan tentera AS sebelum pengunduran penuh dan kejatuhan kerajaan sokongan Barat pada 2021.

Ketua kumpulan bantuan AfghanEvac, Shawn VanDiver memaklumkan beliau telah diberi taklimat bahawa pentadbiran Trump sedang mengintai peluang untuk menawarkan penempatan di Congo kepada kumpulan pelarian tersebut.

Beliau menjangkakan warga Afghanistan terbabit akan menolak tawaran ke negara Afrika tersebut, memandangkan Congo sendiri sedang berdepan krisis pelarian dan konflik berdarah yang berlarutan.

“Anda tidak boleh memindahkan sekutu perang yang telah ditapis, di mana 400 daripada mereka adalah kanak-kanak daripada jagaan AS ke sebuah negara yang sedang mengalami kehancuran sendiri,” tegas beliau dalam satu kenyataan sambil mendakwa langkah itu bertujuan mendesak mereka pulang ke Afghanistan.

Jabatan Negara AS bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada Congo adalah destinasi yang dimaksudkan, namun menyatakan pihaknya sedang melihat pilihan penempatan semula secara sukarela bagi penghuni kem as-Sayliyah di Qatar.

“Memindahkan populasi kem ke negara ketiga adalah satu penyelesaian positif yang memberikan keselamatan kepada mereka untuk memulakan kehidupan baharu di luar Afghanistan, sambil mengekalkan keselamatan rakyat AS,” kata jurucakap Jabatan Negara.

Cadangan tersebut mendapat tentangan hebat daripada Senator Demokrat, Tim Kaine yang menyifatkan tindakan menghantar sekutu AS ke Congo sebagai satu kegilaan.

“Kita telah berjanji kepada warga Afghanistan ini bahawa kita akan membantu menjamin keselamatan mereka selepas mereka membantu kita. Kita mempunyai obligasi untuk menunaikan janji itu,” ujar beliau.

Sehingga kini, lebih 190,000 warga Afghanistan telah menetap di AS di bawah program yang dimulakan oleh bekas Presiden Joe Biden. Bagaimanapun, Trump telah bertindak merombak program penempatan semula pelarian AS dan mengarahkan pemberhentian proses bagi warga Afghanistan.

Langkah itu diambil susulan insiden tahun lalu di mana seorang warga Afghanistan yang pernah bekerja dengan agensi perisikan AS dilaporkan menembak dua anggota Pengawal Kebangsaan di Washington sehingga meragut satu nyawa. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×