Pembenihan awan dibuat atasi kemarau di Kota Tinggi - Utusan Malaysia

Pembenihan awan dibuat atasi kemarau di Kota Tinggi

MOHAMED Khaled Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Proses pembenihan awan akan dibuat di sekitar Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng di sini bermula hari ini dan esok bagi mengatasi masalah ketiadaan bekalan air yang menjejaskan lebih 4,000 akaun pengguna di Felda Lok Heng dan Waha, sejak awal bulan lalu.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu diambil susulan musim kemarau yang melanda kawasan sekitar.

“Sebelum ini awan di kawasan tersebut nipis dan tidak sesuai untuk menjalankan operasi berkenaan, jadi tarikh hari ini dan esok telah dipilih. Marilah sama-sama berdoa dan memohon agar gangguan bekalan air ini dapat diatasi,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohamed Khaled, operasi pembenihan awan itu turut melibatkan beberapa kawasan lain di negeri ini termasuklah Empangan Upper Layang, Empangan Machap; Empangan Linggiu; Empangan Seluyut; Empangan Lebam dan LRA Gembut.

“Beberapa usaha telah dilaksanakan kerajaan bersama agensi berkaitan termasuk penggunaan air bawah tanah melalui telaga tiub sebelum ini.

“Bagaimanapun kaedah tersebut tidak dapat diteruskan berikutan keadaan sumber air terhad, selain tahap kemasinan tinggi yang tidak sesuai untuk dirawat menggunakan fasiliti sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×