EKVE punca banjir teruk di Ampang? - Utusan Malaysia

EKVE punca banjir teruk di Ampang?

PENDUDUK melalui jalan yang berlumpur akibat kejadian banjir di Kampung Lembah Jaya, Ampang, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembinaan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) dipercayai menjadi antara punca berlakunya banjir berlumpur di sekitar daerah Hulu Langat, malam kelmarin.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, hujan lebat berterusan selama lima jam menyebabkan berlakunya banjir berlumpur kerana sisa-sisa pembangunan yang dikhuatiri tersangkut pada su­ngai-sungai dan saluran.

Untuk itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang mahu tindakan sewajarnya diambil oleh pihak EKVE supaya perkara sama tidak berulang.

Selain itu jelasnya, kerja pembaikan perlu dipercepatkan dan pihak EKVE perlu memastikan keseluruhan pembangunan lebuh raya itu tidak terjejas de­ngan kejadian banjir.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turut bertanggungjawab memastikan kerja-kerja pembaikan dilakukan segera dan menyemak sama ada berlaku kecuaian daripada pihak EKVE dan sebagainya,” katanya semasa melawat mangsa banjir di PPS di Dewan MPAJ, Lembah Permai di sini semalam.

Beliau berkata, hujan lebat selama lima jam juga membawa 140 milimeter (mm) air di Su­ngai Ampang dan menyebabkan ia melimpah keluar.

“Sungai Ampang hanya mampu menampung sebanyak 60 mm, jadi meningkat dua kali ganda dan mengakibatkan ia melimpah keluar dan lumpur-lumpur pembinaan yang tersangkut di dalam sungai dan longkang membuatkan air cetek dan cepat berlaku banjir.

“Saya juga amat berharap kerja pembersihan akan dibantu oleh pasukan-pasukan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya penduduk boleh cepat kembali ke rumah mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, sebanyak 50 mangsa daripada 17 keluarga di Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan, Ampang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir yang melanda kawasan itu.

Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sebanyak dua PPS di buka iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Lembah Jaya Utara dan Selatan.

Bagaimanapun setakat ini, hanya satu PPS diduduki penduduk yang terjejas dan sekiranya tidak mencukupi sebuah lagi dewan akan dibuka untuk menempatkan mereka.

“Setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan pemantauan di lokasi-lokasi yang terjejas,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Kerajaan Ne­geri Selangor menggerakkan se­ramai 150 sukarelawan Selangor Volunteer (Serve) ke kawasan yang dilanda banjir kilat itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Generasi Muda dan Modal Insan negeri, Mohd. Khairuddin Othman, kejadian banjir kilat di kawasan tersebut amat mengejutkan kerana tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kesemua anggota Serve akan membantu masyarakat yang terlibat dengan musibah di kawasan tersebut. Jika ada kawasan lain yang terlibat kita akan menggerakkan anggota Serve selepas ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya