BYLAKUPPE: Komuniti Tibet di luar kawalan China mengundi pada Ahad untuk memilih kerajaan dalam buangan, pilihan raya yang dlihat penting ketika mereka bersiap menghadapi masa depan tanpa pemimpin rohani mereka, Dalai Lama.
Pentadbiran Pusat Tibet (CTA) berpangkalan di India dikecam China sebagai tidak lebih daripada kumpulan politik pemisah namun dianggap institusi penting bagi komuniti dalam buangan, khususnya selepas Dalai Lama menyerahkan kuasa politik pada 2011.
“Undi kami penting. Kami perlukan suara yang mencerminkan hala tuju komuniti kami, bukan sekadar sejarahnya,” kata seorang pengundi kali pertama berusia 19 tahun, Tenzin Tsering.
Tsering menunggu untuk membuang undi bagi memperjuangkan perwakilan belia yang lebih besar di Bylakuppe di negeri Karnataka, selatan India yang merupakan salah satu komuniti Tibet terbesar di luar kawasan Himalaya.
Proses pengundian dijadual berlangsung di 27 negara tetapi tidak di China.
Seramai 91,000 pengundi berdaftar termasuk sami Buddha di kawasan Himalaya, pelarian politik di bandar besar Asia Selatan, serta komuniti pelarian di Australia, Eropah dan Amerika Utara.
Dalai Lama yang kini berusia 90 tahun dan menetap di India sejak melarikan diri dari Lhasa selepas tentera China menumpaskan pemberontakan pada 1959, menegaskan beliau masih mempunyai beberapa tahun untuk hidup.
Namun penyokong pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu sedar China yang berfahaman komunis dan ateis menyatakan tahun lalu, mereka mesti meluluskan pengganti pemimpin Buddha tersebut.
Dalai Lama pula menegaskan hanya pejabatnya di India mempunyai hak itu.
Penganut Buddha Tibet percaya beliau adalah penjelmaan ke-14 seorang pemimpin rohani yang pertama kali lahir pada tahun 1391.
Parlimen yang berkhidmat selama lima tahun dan bersidang dua kali setahun mempunyai 45 anggota dari seluruh dunia.
Seabanyak 30 daripadanya mewakili tiga wilayah tradisional, 10 mewakili lima aliran agama, dan lima lagi mewakili diaspora.
Beribu pejabat di Dharamsala di utara India, pentadbiran itu berfungsi sebagai badan perwakilan bagi kira-kira 150,000 rakyat Tibet yang hidup dalam buangan di seluruh dunia.
Ketua kerajaan atau ‘sikyong’, Penpa Tsering dipilih untuk penggal kedua pada 1 Februari selepas memperoleh 61 peratus undi dalam pusingan awal, cukup untuk menang tanpa perlu pusingan tambahan.
Tsering, seperti kerajaan tersebut, tidak menuntut kemerdekaan penuh Tibet, selaras dengan dasar ‘Jalan Tengah’ yang lama diperjuangkan oleh Dalai Lama yang menuntut autonomi.-AFP










