KUALA LUMPUR: Gerakan Hartal Doktor Kontrak akan memulakan siri mogok kedua di seluruh negara pada 8 Disember ini, pukul 12 tengahari, akibat masalah lantikan tetap mereka ke dalam Kementerian Kesihatan masih belum selesai.
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, siri protes itu akan menyerupai naratif mogok pertama yang dilaksanakan pada 26 Julai lalu dan dijangka lebih daripada 5,000 doktor kontrak akan menyertai gerakan berkenaan.
Katanya, semua hospital kerajaan berskala besar di seluruh negara akan terlibat dalam siri tunjuk perasaan itu manakala rancangan untuk meletak jawatan secara besar-besar akan bermula pada hari sama.
“Lebih kurang sama juga pergerakannya, tetapi yang hartal pertama keutamaannya ialah menarik perhatian daripada orang ramai untuk membentuk kesedaran, sekarang ini adalah susulan daripada hartal pertama sebab tuntutan kami belum tercapai.
“Protes kali ini mungkin kami akan buat dalam hospital atau dewan di hospital, sebelum ini memang ada tapi di luar bangunan hospital sebab masa itu masih darurat dan sekatan pergerakan penuh jadi kami tidak boleh buat protes di tempat yang kecil.
“Apa yang kami minta untuk jawatan tetap serta penerangan yang lebih telus dalam pemilihan penyerapan doktor kontrak ke dalam perjawatan tetap tetapi ini belum diberitahu oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.
16 Oktober lalu, akhbar ini melaporkan, Hartal Doktor Kontrak merancang meletak jawatan secara besar-besaran menerusi siri mogok kedua di seluruh negara pada Disember ini, jika baki kira-kira 22,288 doktor berkenaan tidak diserapkan ke jawatan tetap oleh kerajaan.
Doktor-doktor kontrak yang belum ‘diiktiraf’ akan digerakkan dengan membawa plakad bermesej ‘letak jawatan’ sebagai simbolik protes disusuli peletakan jawatan beramai-ramai pada bulan sama namun dijangka mengambil masa antara 30 minit hingga sejam.
Utusan Malaysia baru-baru ini juga melaporkan 4,186 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi berstatus kontrak boleh diperakukan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk pelantikan tetap.
Mengikut rekod, setakat 22 Mei lalu, terdapat 32,516 pegawai lantikan secara kontrak untuk tiga skim iaitu pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi manakala daripada jumlah tersebut, seramai 23,077 adalah pegawai perubatan Gred UD41.
Bagaimanapun, daripada jumlah 32,516 itu, hanya 789 daripada 2,544 pengambilan pertama pada 2016, pengambilan pertama pada 2017 dan sebahagian pengambilan kedua pada 2017 atau 30 peratus daripada mereka diberikan lantikan tetap atau layak menerima jawatan itu.
Dalam pembentangan Bajet 2022 pula, kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta yang bakal memberi manfaat kepada 3,000 pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak, namun, ia belum menjawab persoalan dan penantian mereka mengenai pelantikan mereka secara tetap.-UTUSAN ONLINE










