Belian pukal punca stok minyak masak peket kurang - Utusan Malaysia

Belian pukal punca stok minyak masak peket kurang

PENIAGA kedai runcit meletakkan notis kehabisan minyak masak jenis peket disebuah kedai runcit di Flat Jalan Kedah, Georgetown. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gangguan stok bekalan minyak peket satu kilogram (kg)  di beberapa lokasi di negeri tentu dikesan berpunca daripada  pembelian dalam kuantiti banyak  oleh pihak industri dan peniaga.

Sedangkan, bekalan minyak  masak peket tersebut hanya untuk kegunaan isi rumah dan bukan tujuan kegunaan industri mahupun peniaga.

Menegaskan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagaimanapun, bekalan minyak masak di seluruh negara disahkan tidak mengalami gangguan stok kritikal di premis-premis perniagaan hasil pemantauan dan pemeriksaan anggota penguat kuasa kementerian di lapangan di seluruh negara.

“Minyak masak peket bersubsidi iaitu peket 1kg adalah hanya untuk kegunaan isi rumah dan bukan untuk kegunaan industri atau peniaga.

“Apabila pembelian dilakukan oleh pihak industri dan peniaga dalam kuantiti yang tinggi, menyebabkan bekalan minyak masak terutamanya bungkusan polibeg 1kg bersubsidi terganggu dalam pasaran di beberapa lokasi,” katanya di sini semalam.

ALEXANDER NANTA LINGGI

Menurut Alexander, isu kekurangan minyak masak di beberapa lokasi didorong permintaan tinggi di dalam pasaran berikutan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi semasa berlakunya proses peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) daripada satu fasa ke satu fasa berikutnya.

Jelasnya, gangguan bekalan itu bersifat lokaliti dan sementara serta akan pulih kepada keadaan biasa kemudiannya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan pihak kementerian sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara harian dan berterusan ke atas keberadaan minyak masak di pasaran.

Katanya, aktiviti penguatkuasaan itu melalui pemantauan secara peruncit daerah terpilih  (DDR) dan pemborong daerah terpilih (DDW) serta pengilang daerah terpilih (DDM) bagi mengesan serta mengambil langkah segera jika ada kekurangan bekalan minyak masak di pasaran.

“Untuk tempoh sepanjang bulan lalu sehingga hari ini, kementerian menerima sebanyak 27 aduan berhubung bekalan dan harga minyak masak di pasaran.

“Sebagaimana yang dimaklumkan bahawa isu bekalan dan harga ini hanya bersifat setempat dan sementara  serta bukanlah bersifat nasional dan akan  kembali normal kemudian,” katanya.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Alexander mengakui wujud ketirisan dalam pengagihan subsidi minyak dan mengenal pasti 19 kes yang juga antaranya telah dibawa ke mahkamah dan pihaknya bersedia menyiasat perkara tersebut bagi mencari penyelesaian.

Ia selepas Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah membangkitkan keuntungan lumayan sehingga 150 peratus jika dijual di pasaran gelap dipercayai menjadi punca bekalan minyak masak dalam peket 1kg mengalami kekurangan di seluruh negara ketika ini ekoran peningkatan harga minyak sawit mentah.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya