1,576 projek perumahan berjaya dipulihkan sehingga Mei lalu - Utusan Malaysia

1,576 projek perumahan berjaya dipulihkan sehingga Mei lalu

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,576 projek perumahan membabitkan 188,525 unit kediaman berjaya dipulihkan kerajaan sejak 2023 hingga Mei tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kejayaan itu melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan sebanyak RM148.21 bilion.

Beliau berkata, pencapaian berkenaan adalah hasil usaha berterusan kementerian dalam menangani isu projek perumahan sakit, terbengkalai dan tergendala yang menjejaskan ratusan ribu pembeli rumah di seluruh negara.

“Antara cabaran terbesar yang dihadapi sebaik menerajui kementerian ialah menyelesaikan isu projek perumahan bermasalah yang memberi kesan besar kepada pembeli.

“Pandemik Covid-19 memberi kesan besar terhadap aliran tunai pemaju sehingga menyebabkan banyak projek tergendala.

“Justeru, KPKT menubuhkan pasukan petugas khas bagi menghidupkan semula projek sakit dan terbengkalai demi melindungi kepentingan pembeli rumah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek KL360 @ Menara GD, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, sektor hartanah negara terus menunjukkan momentum positif apabila merekodkan nilai jualan kira-kira RM180 bilion pada 2023 sebelum meningkat kepada RM230 bilion pada 2024 dan seterusnya mencecah RM240 bilion pada tahun lalu.

Katanya, perkembangan tersebut mencerminkan keyakinan pelabur dan pengguna terhadap pasaran hartanah tempatan yang semakin kukuh, selain Malaysia kekal menjadi destinasi pelaburan yang selamat terutama dalam kalangan pelabur Asia Barat.

Sementara itu, beliau berkata, projek pembangunan bercampur KL360 yang sebelum ini terbengkalai kini memasuki fasa pemulihan dengan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada separuh kedua tahun ini sebelum siap sepenuhnya menjelang 2030.

Katanya, projek yang mempunyai nilai pembangunan kasar asal sebanyak RM1.5 bilion itu terjejas susulan beberapa faktor termasuk kesan pandemik Covid-19, tempoh pembinaan yang berlarutan serta kekangan kewangan pasca pandemik.

“Akibatnya, seramai 337 pembeli terjejas dengan nilai keseluruhan Perjanjian Jual Beli (SPA) melebihi RM306 juta.

“Menyedari potensi projek ini serta tanggungjawab terhadap pembeli terkesan, GD Properties tampil sebagai pemaju penyelamat untuk memulihkan pembangunan berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN