KANGAR: Polis meminta penceramah motivasi tampil ke balai polis bagi membantu siasatan dakwaan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Dalam masa sama, polis juga menggesa mana-mana individu lain yang didakwa menjadi mangsa gangguan seksual penceramah berkenaan untuk tampil bagi membuat laporan.
Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Hamzah Hashim berkata, penceramah berkenaan diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar bagi memberi kerjasama dan keterangan kes itu.
Katanya, sebelum itu, pihaknya mengesahkan menerima satu laporan berkaitan kes itu pada Isnin lalu.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Jika sabit kesalahan pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan hukuman sebat.
“Orang awam atau mangsa yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Sharifah Nur Fasihah Syed Sofian di talian 04-9490824 atau 019-8151602,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan seorang penceramah terlibat perlakuan pedofilia dengan menjadikan pelajar yang mengikuti program kendaliannya sebagai mangsa.
Susulan itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek turut mengarahkan semua program di sekolah yang membabitkan penceramah bebas itu dihentikan serta-merta berikutan pendedahan itu.
Kementerian Pendidikan memandang serius dakwaan yang dibangkitkan itu dan sedang mendapatkan maklumat lanjut memandangkan ia membabitkan aspek keselamatan serta perlindungan murid.-UTUSAN











