JOHOR BAHRU: Penyediaan Belanjawan Johor 2022 yang bertemakan Memperhebat Kesejahteraan Johor mengambil kira keperluan kesemua 10 daerah di negeri itu bagi memastikan ia dapat memberi impak kepada semua pihak terutama yang terjejas dengan Covid-19.
Lawatan dimulakan dengan Muar pada 12 Oktober lalu turut memberi peluang kepada kerajaan negeri melihat potensi setiap daerah untuk dimasukkan dalam rangka bajet bagi kegunaan perbelanjaan sepanjang tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang melengkapkan lawatan daerah terakhir di Pontian, kelmarin menyifatkan sesi-sesi tersebut penting dalam usaha memastikan Belanjawan Johor 2022 lebih menyeluruh atau inklusif.
“Ramai sedia maklum bahawa Covid-19 memberi impak sangat besar kepada kita. Belanjawan Johor 2022 ini sangat penting untuk membolehkan kita bangkit kembali sama ada dari segi sektor ekonomi dan sosial.
“Justeru, saya bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri Johor turun berjumpa dengan kepemimpinan daerah supaya kita dapat melihat Belanjawan Johor 2022 dan mengenal pasti potensi yang terdapat di daerah-daerah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Hasni berkata, ancaman Covid-19 yang kini beransur pulih bukan bererti ekonomi turut pulih sepenuhnya, maka sesi libat urus berkenaan bertujuan berbincang bersama-sama kepemimpinan daerah bagi menghasilkan bajet sempurna dan bersifat menyeluruh.
“Apa yang kita lakukan adalah dengan memastikan pemulihan ekonomi, khususnya memperkasa industri kecil dan sederhana (IKS) dengan memperbanyak pinjaman untuk mereka memulakan perniagaan,” katanya.
“Selain itu, kita dapat lihat daerah Segamat yang kini menjadi sebahagian daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan beberapa daerah lain seperti Kluang yang terkenal dengan lokasi untuk belia-belia beriadah,” katanya.
Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2022) Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berlangsung dari 18 November ini hingga 28 November ini.- UTUSAN ONLINE










