Bekas pegawai KPDNHEP dijel sehari, didenda - Utusan Malaysia

Bekas pegawai KPDNHEP dijel sehari, didenda

SEORANG bekas pegawai KPDNHEP dijel sehari dan denda RM4,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menyamar bagi menipu seorang individu menyerahkan RM3,000 di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor hari ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dihukum penjara sehari dan denda RM4,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah menyamar bagi menipu seorang individu menyerahkan wang RM3,000, lapan tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan hukuman penjara dua bulan sekiranya tertuduh, Aidil Akram Harun, 38, gagal membayar denda terbabit.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu selepas tertuduh, Aidil Akram mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa.

Tertuduh yang bimbang ketika mendengar hakim membacakan hukuman penjara tiba-tiba mencelah sebelum sempat hukuman dihabiskan.

“Saya merayu puan, jangan bagi hukuman penjara. Tolonglah puan. Saya menyesal sangat,” katanya sambil menangis.

Bagaimanapun, Rozilah dalam penghakimannya menegaskan, hukuman penjara perlu dikenakan memandangkan kesalahan dilakukan tertuduh sangat serius.

“Saya terpaksa mengenakan hukuman penjara satu hari supaya menjadi iktibar bagi kamu dan denda RM4,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

“Selepas ini, berazam untuk tidak buat apa-apa lagi kesalahan. Saya harap kamu bertaubat, jadikan iktibar dan bina penghidupan yang baru,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Aidil Akram didakwa bersama-sama bersama-sama seorang lagi yang masih bebas menyamar sebagai pegawai KPDNHEP bagi menipu seorang pemilik syarikat membekal gas ke rumah, kedai dan kilang menyerahkan wang tunai RM3,000 di sebuah stesen minyak di Seksyen 7, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 6 April 2013.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu didakwa melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas telah ke rumah pemilik syarikat terbabit dan memperkenalkan diri sebagai pegawai KPDNHEP sedangkan pada ketika itu, dia sudah tidak berkhidmat dengan kementerian terbabit kerana telah dibuang kerja atas kesalahan tatatertib.

Tertuduh bersama seorang lagi mengatakan pemilik syarikat itu telah melakukan kesalahan menyimpan lori dan tong gas di kawasan perumahan dan perlu membayar kompaun jika tidak mahu ia disita. 

Tertuduh yang sekarang berniaga barang secara dalam talian ditangkap pada 13 April 2013.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya