SHAH ALAM: Pelakon dan penyampai radio, Azad Jasmin menyelar tindakan segelintir netizen yang melemparkan kecaman melampau terhadap anak sulungnya, Ammara Sophie Rose, sepanjang tampil di program Talk To My Manager musim kedua.
Azad, atau mesra dipanggil Pak Azad, mendedahkan terdapat individu menurunkan komen menghina keluarganya selain mempertikai bakat anaknya yang baru berusia 13 tahun.
“Ada satu komen itu saya tengok, saya balas balik. Dia tulis ‘anak pun bangang, bapa pun bangang’. Itu bukan lagi level memberi nasihat, itu sudah melampau.
“Ada juga yang tuduh saya guna ‘kabel’ dan suruh anak saya menyanyi lagu balada. Saya ini bapa dan pengurus dia, saya lebih tahu apa kelebihan dan kekurangan dia.
“Saya tidak akan sekali-kali dengar cakap netizen yang paksa dia nyanyi balada atau rock,” katanya sejurus persembahan konsert minggu ketujuh program Talk To My Manager, pada Ahad.
Mengulas lanjut, sebaga bapa hatinya terguris membaca komen sedemikian dilemparkan kepada anaknya apalagi mengenang pengorbanan isterinya, Iera Syazira melahirkan Ammara menerusi pembedahan (caesar) kerana berat bayi mencecah 4.9 kilogram.
“Sebagai ayah yang melihat sendiri isteri potong perut berkali-kali, saya menangis tengok cara dia beranak. Takkanlah orang kecam anak saya, saya tidak terasa?
“Tetapi bagi saya, kecaman ini sebenarnya menguatkan kami setiap hari. Ia tidak akan menggoyangkan saya dan isteri kerana sudah dilatih oleh arwah bapa untuk berdepan dengan pelbagai cabaran, jadi saya tidak ada masalah,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Azad turut menitipkan pesanan sinis kepada warga maya agar berhati-hati dalam berkata-kata kerana balasan Allah itu nyata.
“Kadang ayat yang ditulis memberi contoh buruk kepada budak usia 13 tahun .
Berhati-hatilah sebelum bercakap. Kita tidak tahu, mungkin benda yang sama akan terjadi pada keluarga kalian satu hari nanti.
“Kepada mereka yang suka maki hamun dalam media sosial ini, ingat pesanan saya, kun fayakun, ia akan kembali semula kepada anda suatu hari nanti
“Masa itu nanti, kalian mungkin akan mimpi muka saya. Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Azad dan isterinya, Iera Syazira tampil membela anaknya yang menjadi bahan kecaman di media sosial malah terdapat individu berharap anaknya akan tersingkir daripada program tersebut. -UTUSAN










