LUMUT: Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersedia menempatkan pasukan pengawal pantai dan membina menara tinjau pasukan itu di pantai Teluk Senangin, Segari dekat sini bagi membantu kes kecemasan di laut berikutan lokasi itu menjadi tumpuan ramai terutama hujung minggu dan cuti persekolahan.
Pengarah APM Perak, Penolong Pesuruhjaya Pertahanan Awam Noor Azam Johari berkata, tindakan itu akan dilakukan jika mendapat permintaan daripada pihak berkuasa di daerah Manjung terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan diluluskan di peringkat ibu pejabat pasukan tersebut.
Setakat ini, beliau memberitahu, APM mempunyai dua menara tinjau pengawal pantai di Perak iaitu di pantai Teluk Batik di sini dan pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor, yang beroperasi setiap hari.
“(Penempatan anggota dan pembinaan menara tinjau) harus berdasarkan justifikasi, kalau ada permintaan untuk bina menara dan (perlu) lihat kes (yang berlaku) kemungkinan akan ada cadangan (membina menara tinjau).
“Di seluruh negara, APM ada kira-kira 50 menara tinjau pengawal pantai dan kami sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk membawa cadangan ini kepada Ibu Pejabat APM,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Latihan Lanjutan Pengendalian Bot APM peringkat negeri di pantai Teluk Batik hari ini.
Majlis penutupan program itu dirasmikan oleh Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Manjung.
Bulan lalu iaitu selepas pengumuman dibenarkan merentas negeri, berlaku dua kes pengunjung lemas serta satu kes pengunjung hampir lemas di pantai Teluk Senangin.
Di Perak, hanya tiga lokasi sering menjadi tumpuan orang ramai untuk mandi laut iaitu di pantai Teluk Batik, Teluk Senangin dan di Pulau Pangkor, yang berada dalam daerah Manjung.
Menurut Noor Azam, untuk menempatkan anggota pengawal pantai pihaknya perlu melatih anggota menjalani kursus khas menyelamat di laut serta menyediakan beberapa peralatan dan kelengkapan untuk aktiviti penyelamatan.
Beliau berkata, APM sudah bersedia menghadapi sebarang kejadian bencana alam berpunca daripada Monsun Timur Laut dan sentiasa memantau setiap lokasi yang dikenal pasti berisiko di Perak termasuk penempatan di pesisiran pantai serta sepanjang tebing Sungai Perak.
“Latihan Lanjutan Pengendalian Bot selama tiga hari itu yang melibatkan 80 pegawai dan anggota seluruh negeri menggunakan 12 unit bot dan satu pontoon bertujuan untuk persediaan dalam menghadapi monsun tersebut,” katanya.
Sementara itu, Shamsul Ridzuan meminta semua penduduk di daerah Manjung agar sentiasa mengambil sikap berwaspada terutama mengawasi pergerakan anak mereka jika terlibat dalam aktiviti di air dalam menghadapi monsun tersebut.
Beliau difahamkan akan berlaku fenomena air pasang besar bulan depan.
“Semua agensi di daerah itu sudah bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya. – UTUSAN










