PETALING JAYA: Prestasi Bursa Malaysia dijangka bergerak mendatar dengan kecenderungan positif, namun masih berdepan ketidaktentuan dan turun naik yang tinggi pada minggu ini susulan perkembangan semasa pasaran.
Pensyarah Kanan i-CATS University College, Kuching, Profesor Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak dalam julat 1,680 hingga 1,705 mata sebagai senario asas yang paling berkemungkinan berlaku.
Menurut beliau, sekiranya sentimen pasaran bertambah baik, FBM KLCI berpotensi mengukuh ke paras 1,700 hingga 1,720 mata.
“Sebaliknya, jika tekanan luaran meningkat, indeks berkemungkinan susut ke lingkungan 1,650 hingga 1,675 mata.
“Dari sudut teknikal, paras rintangan utama dilihat berada sekitar 1,700 hingga 1,707 mata, manakala zon sokongan dijangka dalam lingkungan 1,665 hingga 1,672 mata.
“Antara sektor yang berpotensi menjadi tumpuan pelabur ialah perbankan sekiranya aliran dana asing kekal positif, teknologi dan semikonduktor yang mendapat manfaat daripada sentimen kecerdasan buatan (AI) serta prestasi Nasdaq.
“Selain itu, sektor pembinaan dan utiliti juga dijangka menarik perhatian berikutan kaitannya dengan pelaksanaan projek infrastruktur tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, sentimen pasaran tempatan turut menerima sokongan apabila FBM KLCI berjaya bertahan pada paras 1,680 hingga 1,690 mata selepas berdepan tekanan jualan sebelum ini.
“Pada masa sama, pemulihan pasaran saham Amerika Syarikat (AS), khususnya dalam sektor teknologi, membantu meningkatkan keyakinan pelabur terhadap prospek pasaran serantau.
“Selain itu, beberapa penganalisis tempatan masih mengekalkan pandangan positif terhadap asas korporat Malaysia yang disifatkan kukuh.
“Mereka juga menjangkakan momentum pemulihan keuntungan syarikat tersenarai akan berterusan sepanjang 2026, sekali gus menyokong sentimen pelaburan,” ujarnya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pasaran saham tempatan dijangka terus bergerak dalam julat sempit minggu depan apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati sambil menantikan perkembangan berkaitan rasionalisasi subsidi RON95 dan hala tuju dasar monetari AS.
Menurut beliau, FBM KLCI dijangka bergerak antara 1,650 hingga 1,680 mata dengan senario asas menunjukkan kenaikan sederhana sekitar satu hingga 1.5 peratus.
“Sentimen pasaran masih disokong oleh harga minyak mentah yang kekal tinggi pada paras AS$82 (RM332.74) hingga AS$86 (RM348.97) setong, sekali gus memberi manfaat kepada saham berkaitan minyak dan gas (O&G) yang terus menjadi pilihan pelabur sebagai aset defensif.
“Selain itu, kestabilan ringgit pada sekitar RM4.05 hingga RM4.10 berbanding dolar AS membantu mengurangkan tekanan jualan asing, manakala aliran masuk dana asing yang sederhana kembali menyokong sektor perbankan dan saham dengan dividen tinggi.
“Dari sudut ekonomi domestik, kadar pengangguran yang rendah sekitar tiga peratus serta inflasi yang masih terkawal memberi ruang kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan dasar monetari semasa tanpa perubahan mengejut terhadap Kadar Dasar Semalaman (OPR),” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pasaran masih berdepan beberapa cabaran luaran, termasuk prestasi Wall Street yang dijangka terus mempengaruhi sentimen terhadap sektor elektrik dan elektronik (E&E) tempatan seperti Malaysian Pacific Industries (MPI), Inari Amertron Bhd. dan UWC Bhd.
“Sekiranya tekanan jualan berterusan berlaku dalam saham teknologi global, sektor E&E Malaysia dijangka menerima tempias memandangkan industri tersebut mempunyai kaitan rapat dengan rantaian bekalan semikonduktor dunia.
“Dalam pada itu, ketidaktentuan mengenai pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 terus menjadi antara faktor utama yang diperhatikan pelabur.
“Sebarang pengumuman berkaitan perkara itu berpotensi memberi kesan kepada sektor pengguna dan penerbangan yang lebih sensitif terhadap peningkatan kos operasi,” jelasnya. – UTUSAN










