BUKIT MERTAJAM: Masalah kekurangan aset terutama melibatkan logistik ketika mengendalikan sesuatu operasi bencana alam seperti banjir masih ‘membelenggu’ Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ketika ini.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Roslan Wahab berkata, tidak hairanlah sekiranya APM masih memerlukan bantuan daripada daerah atau negeri jiran setiap kali berlaku bencana tersebut di sesuatu kawasan terutama yang agak terpencil.
Katanya, dari segi keanggotaan, pihaknya tidak menghadapi masalah untuk menggerakkan anggota APM kerana penugasan berkaitan Covid-19 ketika ini seperti kawalan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), pengurusan jenazah serta sekatan jalan raya (SJR) juga sudah semakin berkurangan.
“Bagaimanapun, kekangan dari segi aset (logistik) itu masih ada. Kita perlukan lebih banyak 4×4 (kenderaan pacuan empat roda) untuk bergerak ke kawasan terpencil.
“Begitu juga dengan bot-bot bersaiz kecil dan lori bersaiz tiga tan. Lori sebagai contoh, kalau lokasi yang tidak sesuai, kadang-kadang apabila tayar terbenam, masalah lain pula akan muncul,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan sesi pertemuan bersama warga APM Pulau Pinang selain mengikuti sesi demonstrasi mencari dan menyelamat mangsa banjir mengikut kebiasaan baharu di Jeti Kampung Terus, Kubang Semang di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengikuti kayuhan kesiapsiagaan serta menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada penduduk setempat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di sekitar Kampung Guar Jering dan Kampung Terus di sini.
Mengulas mengenai program demonstrasi atau simulasi menangani bencana banjir mengikut kebiasaan baharu katanya, ia akan diperluaskan ke daerah-daerah lain pula di seluruh Pulau Pinang selepas ini.
Jelasnya, ketika ini juga beberapa negeri lain turut mengadakan program sama secara berperingkat.
Menurut beliau, simulasi seperti itu amat penting kerana memberi lebih kesiapsiagaan kepada APM semasa mengendalikan sesuatu operasi mencari dan menyelamat.
“Sebagai contoh, di bawah kebiasaan baharu, kita tunjukkan kaedah menyelamatkan mangsa banjir dalam dua situasi yang berbeza iaitu pertama, mangsa biasa dan kedua, mangsa yang sedang menjalani kuarantin akibat Covid-19.
“Mangsa-mangsa ini juga akan diasingkan khemah sebaik sahaja tiba di lokasi penempatan banjir bagi mengelakkan jangkitan dan sebagainya,” jelas beliau.
Ketika ini terdapat antara 15,000 hingga ke 20,000 anggota APM yang boleh digerakkan setiap kali sesuatu operasi berkaitan bencana itu dijalankan di seluruh negara.










