[ANALISIS] Calon ‘Bebas’ pilih logo? - Utusan Malaysia

[ANALISIS] Calon ‘Bebas’ pilih logo?

MAIMUN Yusof berasal dari Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu, Terengganu merupakan ikon calon Bebas di Malaysia. - UTUSAN/ PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM mana-mana pilihan raya, tidak kira pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK), kehadiran calon Bebas tetap memberi impak kepada perjalanan pilihan raya, terutama ketika hari penamaan calon.

Logo atau simbol yang digunakan bakal menjadi perhatian masyarakat, namun sama ada ia memberi kesan untuk menarik minat pengundi, perkara itu belum dapat dibuktikan.

Ikon calon Bebas tanah air pastinya Tok Mun, seorang warga emas di Terengganu yang kini sudah menginjak usia 102 tahun.

Maimun Yusuf adalah calon tertua pada PRU-12, hilang wang pertaruhan selepas hanya meraih 685 undian di kerusi Parlimen Kuala Terengganu, menentang calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Barisan Nasional (BN), Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Nenek kepada tujuh cucu yang berkempen menaiki basikal itu sekali lagi bertanding di kerusi sama pada PRU-13, bagaimanapun tetap berdepan nasib sama.

Seterusnya, beliau terpaksa membatalkan hasrat bertanding pada PRU-14, akibat ketiadaan sumber untuk dijadikan wang deposit.

Dalam perspektif Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pula, seramai 22 calon Bebas menawarkan diri bertanding di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan majoritinya memilih simbol buku.

Bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang juga penyandang kerusi DUN Pengkalan Batu memilih logo kunci ketika proses penamaan calon, Isnin lalu.

Persoalannya, bagaimanakah kesemua 22 calon Bebas ini memilih logo mereka?

Berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka menetapkan 28 logo yang boleh dipilih calon bertanding bagi tujuan kempen dan simbol pada kertas undi.

Antara lain adalah gajah, udang, cangkul, perahu dan motosikal.

Ia tidak boleh ditukar selepas dipilih dan disahkan oleh pegawai pengurus pilihan raya ketika proses penamaan calon berlangsung.

Bagaimanapun, jika terdapat lebih daripada seorang memilih logo yang sama, SPR akan mengadakan undian bagi menentukan siapakah yang berhak menggunakannya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya