TEHERAN: Seorang pegawai kanan parlimen Iran berkata pada Khamis bahawa Teheran telah menerima hasil pertama daripada bayaran tol yang dikenakan ke atas Selat Hormuz dalam perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
“Pendapatan pertama yang diterima dari tol Selat Hormuz telah dimasukkan ke dalam akaun bank pusat,” kata Timbalan Speaker Parlimen, Hamidreza Hajibabaei, menurut agensi berita Tasnim News Agency.
Media Iran lain turut melaporkan kenyataan sama tanpa memberikan butiran lanjut.
Selat Hormuz, laluan tenaga strategik utama, telah menjadi titik panas sejak tercetusnya perang di Asia Barat pada 28 Februari.
Iran hanya membenarkan sebilangan kecil kapal melalui laluan tersebut, yang dalam keadaan aman biasanya mengendalikan kira-kira satu perlima aliran minyak dan gas dunia, selain komoditi penting lain.
Sebelum pengumuman hasil tol ini, parlimen Iran sedang mempertimbangkan sama ada untuk mengenakan bayaran tersebut ke atas kapal yang melalui selat itu dengan pegawai Iran memberi amaran bahawa trafik maritim di situ tidak akan kembali kepada keadaan sebelum perang.
Pada 30 Mac, media kerajaan Iran melaporkan bahawa jawatankuasa keselamatan parlimen telah meluluskan rancangan mengenakan tol, namun tidak jelas sama ada undian akhir telah dibuat.
Presiden AS, Donald Trump telah mendesak Iran supaya membuka semula selat tersebut.
Britain, Perancis dan perancang ketenteraan dari lebih 30 negara telah mengadakan perbincangan untuk melindungi pelayaran melalui selat itu. – AFP










