PETALING JAYA: Kehadiran jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dalam skuad kebangsaan terus memberi impak besar bukan sahaja daripada segi prestasi, malah turut membawa aura kepemimpinan dalam pasukan.
Perkara itu diakui pengarah teknikal skuad berbasikal trek negara, John Beasley yang menyifatkan kepulangan Azizulhasni ke dalam pasukan telah mengembalikan elemen kepimpinan yang sebelum ini dirasai kekurangannya ketika beliau tidak bersama skuad.
Menurut Beasley, pelumba itu bukan sekadar seorang atlet berpengalaman, malah berperanan sebagai pemacu standard prestasi pasukan setiap kali berada dalam kelompok latihan mahupun pertandingan.
“Saya rasa dengan kembalinya Azizulhasni, kita mendapat semula kepemimpinan dalam kumpulan dan apabila beliau tiada dalam kumpulan, itulah kekurangannya.
“Kita ada satu pasukan atlet, tetapi tiada pemimpin yang benar-benar jelas. Jadi, beliau adalah seorang profesional yang unggul dan apabila beliau berada dalam pasukan, standard akan meningkat.
“Apabila beliau tiada dalam pasukan, standard menurun dan itulah yang telah berlaku,” katanya.
Beasley turut mengesahkan Azizulhasni tidak akan beraksi dalam acara pecut berpasukan dan hanya mengambil bahagian dalam acara keirin dan pecut individu pada siri terakhir Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional Nilai bermula hari ini.
“Sudah tentu tidak (pecut berpasukan) malah besar kemungkinan di Sukan Asia dan Sukan Komanwel pun sama. Saya tidak mahu membebankan beliau dan meletakkan beliau dalam situasi yang sukar.
“Sudah tentu pasukan lebih baik jika beliau beraksi bersama namun bagi saya, apabila anda sudah berada di penghujung karier dan anda pelumba utama, anda perlu utamakan diri sendiri,” katanya.
Acara pecut berpasukan lelaki negara bakal digalas oleh Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Adib Andhar Adnan dan Mohd Akmal Nazimi Jusena selepas Muhammad Ridwan Sahrom mengalami kecederaan bahu kiri akibat kemalangan ketika pusingan kedua di Hong Kong, Sabtu lalu. – UTUSAN










