PETALING JAYA: Skuad badminton negara wajib bermula langkah kanan menewaskan England dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark, esok.
Malaysia yang diundi bersama England, Finland dan pencabar utama, Jepun dijangka tidak berdepan masalah untuk layak ke saingan seterusnya sekiranya berjaya melepasi cabaran awal England dan Finland.
Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia melihat pendekatan realistik menjelang kempen Piala Thomas dengan memberi keutamaan kepada strategi berpasukan berbanding status individu.
Katanya, situasi itu menuntut perancangan rapi khususnya dalam penggiliran pemain perseorangan bagi memastikan setiap pemain berada pada tahap fizikal terbaik.
“Kita ada empat pemain perseorangan, jadi mungkin akan ada yang perlu rehat. Semua bergantung kepada keputusan jurulatih dan keperluan pasukan,” katanya.
Kenyataan itu menggambarkan kematangan pemain berusia 26 tahun itu yang kini lebih selesa berkongsi tanggungjawab, berbanding sebelum ini sering menggalas peranan selaku perseorangan utama.
Walaupun dijangka beraksi sebagai perseorangan kedua kali ini, Zii Jia menolak tanggapan bahawa beban tekanan akan berkurang.
“Bagi saya, kalau sudah dipilih dalam senarai, tak kira nombor satu atau dua, semua peranan penting. Bukan sekadar letak nama, semua pemain akan beri yang terbaik,” tegasnya.
Pendekatan tersebut memberi isyarat jelas bahawa kem negara tidak lagi bergantung kepada satu individu semata-mata, sebaliknya mengutamakan kekuatan kolektif dalam memburu kemaraan.
Dalam pada itu, Juara All England 2021 itu mengakui sesi latihan bersama pemain lain termasuk skuad kebangsaan memberikan impak positif terhadap tahap permainannya.
“Standard sparring di sini memang lebih tinggi daripada apa yang saya biasa hadapi. Banyak yang saya dapat sepanjang minggu ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan aspek bebas kecederaan menjadi keutamaan utama menjelang aksi pembukaan.
Secara analisis, pertemuan awal menentang England dan Finland dilihat sebagai medan untuk Malaysia membina momentum, namun aksi menentang Jepun bakal menjadi penentu awal kedudukan kumpulan.
Sebagai rekod, Malaysia adalah juara lima kali Piala Thomas, namun penantian sejak 1992 kini melebihi tiga dekad, sekali gus menambah motivasi skuad negara untuk kembali mencipta impak. – UTUSAN










