BEIRUT: Lebih 50,000 unit kediaman di Lubnan dilaporkan musnah atau mengalami kerosakan akibat serangan Israel dalam konflik terbaharu dengan kumpulan Hizbollah, menurut anggaran kerajaan yang dikeluarkan semalam.
Ketua Majlis Kebangsaan Penyelidikan Saintifik (CNRS), Chadi Abdallah berkata, dalam tempoh kira-kira 45 hari perang, sebanyak 17,756 unit rumah musnah sepenuhnya manakala 32,668 unit lagi mengalami kerosakan.
Serangan Israel ke atas Lubnan dilaporkan sudah mengorbankan lebih 2,400 orang dan menyebabkan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal sejak negara itu terheret ke dalam konflik Asia Barat pada 2 Mac.
Walaupun terdapat gencatan senjata selama 10 hari yang bermula pada Jumaat, tentera Israel terus merobohkan dan meletupkan rumah-rumah di bandar-bandar selatan Lubnan, menurut pihak berkuasa Lubnan, saksi mata, serta gambar-gambar yang diambil oleh AFP dari pihak Israel.
Menurut CNRS, sebanyak 428 unit rumah dimusnahkan dan 50 lagi rosak hanya dalam tempoh tiga hari pertama gencatan senjata tersebut.
Seorang pegawai Lubnan memaklumkan negara itu akan memohon lanjutan tempoh gencatan senjata dalam rundingan seterusnya dengan Israel pada Khamis.
Konflik antara Hizbollah dan Israel sebelum ini berlarutan lebih setahun pada 2023 sebelum memuncak menjadi perang penuh selama dua bulan pada penghujung 2024, sehingga gencatan senjata diumumkan pada November bagi meredakan ketegangan.
Namun, Israel dilaporkan terus melancarkan serangan ke atas Lubnan walaupun selepas gencatan senjata sebelum ini, selain mengekalkan kedudukan tenteranya di lima lokasi sempadan.
Menteri Alam Sekitar Lubnan, Tamara Zein berkata, konflik berpanjangan dari 2023 hingga 2025 telah menyebabkan kemusnahan besar di pelbagai peringkat. – AFP/AGENSI










