Agong perkenan tamat proklamasi darurat di Sarawak - Utusan Malaysia

Agong perkenan tamat proklamasi darurat di Sarawak

agong
AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH puji pelan jaga kesihatan mental rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya proklamasi darurat negeri Sarawak ditamatkan.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, penamatan proklamasi darurat berkenaan adalah selaras dengan Perkara 40 dan 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, Seri Paduka bertitah, penamatan proklamasi darurat adalah satu keputusan sukar dan rumit namun perlu diperkenan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

“Seri Paduka menzahirkan kegusaran terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan.

“Pada hemat Seri Paduka, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman Covid-19 dan penularan wabak ini juga masih di tahap yang membimbangkan.

“Sesungguhnya, Seri Paduka menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan setiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu hadir setelah Seri Paduka berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pukul 8 pagi tadi untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara yang berlangsung selama sejam dan berkenan menerima nasihat Ismail Sabri menamatkan darurat di negeri itu.

Semalam, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Seri Abdul Taib Mahmud menerima perkenan menghadap Seri Paduka di Istana Negara untuk menyampaikan hasrta dan permohonan kerajaan negeri Sarawak supaya menamatkan darurat di Sarawak.

Seri Paduka turut berkenan menerima menghadap Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad bagi menyembah taklimat mengenai perkara sama.

Pada 31 Julai lalu, Sarawak diisytiharkan darurat selama enam bulan sehingga 2 Februari 2022 selaras di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) Sarawak 2021 diterbitkan dalam Warta Persekutuan, pada 30 Julai lalu dan berkuat kuasa mulai 2 Ogos.

DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan setelah mencapai tempoh matang lima tahun pada 7 Jun lalu namun proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang sudah dibatal dan diungkaikan oleh kerajaan, baru-baru ini.

Untuk rekod, Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 memperuntukan proklamasi darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka setelah berunding dengan Yang Dipertua Negeri. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.