Afghanistan tenang dan aman, bukan sebuah negara yang 'dilanggar garuda'

Afghanistan tenang dan aman, bukan sebuah negara yang ‘dilanggar garuda’

Sebanyak 60 set "bakul makanan" bernilai RM210 untuk satu keluarga diagihkan kepada golongan memerlukan oleh Muslim Care Malaysia di Herat, Afghanistan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HERAT (Afghanistan): Seharian berada di Herat, bandar ketiga terbesar di Afghanistan selepas Kabul dan Kandahar, rumusan saya ialah keadaannya biasa saja seperti bandar-bandar besar lain. Tenang dan aman.

Jika ada yang beranggapan memasuki negara Afghanistan atau mana-mana bandar di dalamnya bererti anda memasuki zon perang, tanggapan itu sama sekali tidak benar.

Justeru, apa yang sering diuar-uarkan Amerika Syarikat dan segelintir media yang bersekutu dengannya bahawa “anda seperti membunuh diri jika datang ke Afghanistan” terbukti sekadar propaganda yang mengandungi agenda tersirat.

Penduduk di Herat, Afghanistan menjalani rutin hidup seperti biasa biarpun berdepan pelbagai kesukaran.

Saya bukan ingin berkempen supaya anda datang ke Afghanistan dengan mengatakan negara itu 100 peratus selamat dan bebas daripada sebarang ancaman keselamatan.

Ini kerana saya sedar ancaman serangan bom oleh pengebom bunuh diri didalangi anggota militan dikaitkan dengan ISIS boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana saja.

Cuma saya ingin menekankan, selepas tentera Amerika Syarikat “cabut lari” dengan maruah tercalar pada 15 Ogos lalu Afghanistan bukanlah sebuah negara yang situasinya ibarat “dilanggar garuda.”

Apa yang saya perhatikan di Herat, rakyatnya masih meneruskan kehidupan seperti biasa. Jalan raya cukup sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan, kedai-kedai dibuka dan sentiasa dikunjungi pelanggan dan pejabat kerajaan serta swasta juga beroperasi seperti biasa.

Kalaupun ada pemandangan berbeza berbanding bandar lain ialah anda akan melihat anggota keselamatan (ada yang memakai seragam celoreng dan ada juga sekadar memakai kurta) memegang senjata api berada di lokasi tertentu termasuk di jalan raya.

Nasrullah menceritakan kesusahan hidupnya kepada seorang sukarelawan Muslim Care Malaysia.

Selain itu, pastinya agak aneh apabila melihat sesetengah kenderaan termasuk lori, kereta dan bas, apatah lagi motosikal, bergerak bebas di jalan raya tanpa memiliki nombor pendaftaran.

Situasi yang kami lihat itu agak lari daripada apa yang kami jangkakan. Tapi, itu bukan bermakna misi kami ke sini turut lari daripada matlamatnya.

Hasil kerjasama dengan sebuah pertubuhan kebajikan tempatan, Ehsas, seramai 60 keluarga menerima sumbangan bakul makanan.

Ia bernilai AS$50 atau RM210 setiap satu mengandungi makanan harian termasuk beras, tepung, gula, minyak masak dan kacang.

“Semua makanan ini boleh saya gunakan selama dua hingga tiga bulan. Terima kasih rakyat Malaysia, semoga Allah merahmati anda semua,” kata Nasrullah Abu Hakim, 78, seorang daripada penerima.

Antara ibu tunggal yang menerima sumbangan pelbagai jenis makanan asas daripada sukarelawan Malaysia.

Melalui jurubahasa, Nasrullah dengan sebak dan air mata bergenang berkata, sejak empat tahun lalu apabila kesihatannya terjejas, hanya sumbangan daripada Ehsas yang menjadi penyambung hidupnya sekeluarga.

Seorang penerima ibu tunggal yang enggan dikenali pula berkata sebenarnya dia malu kerana terpaksa menjadi peminta sedekah, namun demi kelangsungan hidup, dia tidak ada pilihan.

“Kalau boleh saya tidak mahu gambar saya dirakam dan menjadi bahan tontonan. Tapi apa boleh buat, anda memberi makanan kepada saya. Saya hormati anda,” katanya.

Tersentuh hati saya mendengar kata-katanya itu. Benar sekali, kesengsaraan dan kemiskinan ada kalanya memaksa kita sehingga menggadaikan maruah diri.

Mungkin tempoh sehari tidak cukup untuk saya mengenali Herat secukupnya. Mungkin Herat tidak setenang dan aman yang saya sangka

Permukaannya mungkin tenang tapi ada kocakan di bawahnya. Mudah-mudahan barangan makanan yang kami berikan hasil sumbangan rakyat Malaysia dapat mengurangkan kesukaran hidup sebahagian mereka.

Apapun, bumi Herat telah saya tinggalkan dan destinasi kami seterusnya ialah Kabul. InsyaAllah kami akan berada lebih lama di Kabul, sekurang-kurangnya seminggu.

Bagaimana pula keadaan ibu negara Afghanistan itu? Adakah Kabul juga seperti Herat – tenang di permukaan tapi berkocak di bawah? Esok saya akan ceritakannya..insyaAllah.

Tuan Asri Tuan Hussein adalah Penasihat Media Muslim Care Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya