TOKYO: Jumlah kelahiran dan kadar kesuburan tahunan di Jepun jatuh ke paras terendah, sekali gus menonjolkan krisis demografi yang terus meruncing apabila semakin sedikit penduduk berkahwin dan memulakan keluarga, menurut laporan media.
Data kerajaan yang dikeluarkan minggu ini menunjukkan hanya lebih 671,000 bayi dilahirkan pada 2025, iaitu hampir 15,000 lebih rendah berbanding tahun sebelumnya dan merupakan angka terendah sejak rekod bermula pada 1899, lapor NHK pada Jumaat.
Kadar kesuburan, purata bilangan anak yang dijangka dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang hayatnya, turut menurun kepada paras rekod terendah iaitu 1.14.
Angka tersebut menandakan penurunan kelahiran selama 10 tahun berturut-turut dan membimbangkan pakar, yang menyatakan penurunan itu berlaku jauh lebih pantas daripada unjuran sebelum ini.
Penyelidik kerajaan sebelum ini menjangkakan kadar kesuburan tidak akan jatuh ke tahap serendah itu sehingga tahun 2040.
Antara faktor utama di sebalik trend itu adalah penurunan mendadak dalam kadar perkahwinan. Jepun mencatat hampir 800,000 perkahwinan setahun pada awal abad ini, namun angka itu kini merosot kepada sekitar 500,000.
Memandangkan kebanyakan kanak-kanak di Jepun dilahirkan dalam kalangan pasangan berkahwin, penurunan jumlah perkahwinan turut menyumbang kepada kejatuhan kadar kelahiran.
Namun begitu, walaupun terdapat faktor tersebut, tinjauan menunjukkan kira-kira 80 peratus rakyat Jepun yang masih bujang tetap berharap untuk berkahwin.
Pakar berkata, perubahan pola sosial menyukarkan orang ramai untuk bertemu pasangan berpotensi.
Kini semakin sedikit pasangan yang bertemu melalui saluran tradisional seperti tempat kerja, sekolah atau rakan kenalan, sebahagiannya disebabkan kerja jarak jauh serta kebimbangan terhadap privasi dan gangguan di tempat kerja.
Akibatnya, agensi perkahwinan kembali mendapat populariti, khususnya dalam kalangan golongan muda yang mencari cara lebih tersusun dan efisien untuk mencari pasangan jangka panjang.
Populasi Jepun yang semakin menua dan mengecil kekal sebagai salah satu cabaran ekonomi dan sosial paling mendesak bagi negara itu.










