Anak yatim, miskin jangan tolak tawaran IPTA - Asyraf Wajdi

Anak yatim, miskin jangan tolak tawaran IPTA – Asyraf Wajdi

ASYRAF Wajdi Dusuki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelajar daripada keluarga miskin atau anak yatim yang menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diingatkan supaya tidak menolak peluang tersebut hanya disebabkan kekangan kewangan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau menerima banyak mesej di media sosial mengenai pelajar anak-anak yatim atau miskin yang bercadang menolak tawaran ke IPTA.

Menurutnya, beliau telah menghubungi beberapa Naib Canselor universiti, manakala Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir turut mengarahkan supaya pelajar yang kurang berkemampuan diberikan bantuan sewajarnya.

“Saya menerima banyak mesej di media sosial perihal anak-anak yatim dan miskin yang berkira-kira untuk menolak tawaran IPTA. Saya sudah hubungi beberapa Naib Canselor universiti.

“Menteri, Dr. Zambry arahkan bantu pelajar susah. Jangan sesekali tolak,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau turut menggesa pelajar yang menerima tawaran ke mana-mana institusi pendidikan MARA sama ada Kolej MARA, Kolej Profesional MARA, TVET MARA, Kolej Poly-Tech MARA, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) atau Universiti Kuala Lumpur (UniKL) supaya mendaftar terlebih dahulu.

Katanya, pelajar boleh berjumpa pegawai pendaftar di institusi masing-masing kerana beliau sendiri telah mengarahkan agar bantuan diberikan kepada pelajar yang miskin, kurang berkemampuan atau yatim.

“Daftar sahaja dulu. Berjumpa dengan pegawai-pegawai pendaftar. In Sha Allah saya sendiri sudah arahkan semua agar bantu pelajar-pelajar susah, miskin atau yatim yang perlukan bantuan.

“Saya selalu ingatkan bahawa hanya ilmu sahaja yang mampu mengubah kehidupan. MARA akan bantu, insya-Allah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN