76 PATI ditahan sembunyi dalam rumah - Utusan Malaysia

76 PATI ditahan sembunyi dalam rumah

SEMUA warga asing yang ditahan PGA di Kampung Sungai Terap, Tanjong Karang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJONG KARANG: Cubaan 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di sebuah rumah di Kampung Sungai Terap di sini, tidak bertahan lama apabila ditahan pihak berkuasa semalam.

Kesemua warga asing berusia 23 hingga 43 tahun itu dipercayai baru menyusup masuk ke negara ini dengan menaiki bot dari Batu Bara dan Tanjung Balai, Indonesia.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, perkara itu dihidu selepas pihaknya melihat sebuah kereta yang mencurigakan di sebuah stesen minyak di Batu 8, di sini, kira-kira pukul 4 pagi.

Katanya, pemeriksaan lanjut kemudian menahan lima lelaki termasuk tiga warga asing berusia 30-an yang berada dalam kereta itu kerana disyaki tekong darat.

“Hasil siasatan membawa kepada serbuan dan penahanan 69 lelaki serta tujuh pendatang asing di sebuah rumah di Kampung Sungai Terap.

“Kesemua mereka didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah dan memasuki Malaysia menerusi laluan laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Rizal, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun disyaki tekong bagi membantu siasatan.

“Selain itu, kita merampas dua kenderaan, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM3,439. Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Tanjong Karang untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963. 

“Semua PATI yang ditahan dipercayai membayar wang sebanyak RM1,000 hingga RM1,700 untuk menyusup ke negara ini. Siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan termasuk ke atas tekong yang ditahan,” katanya.

Sehubungan itu, Rizal amat mengalukan kerjasama orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti yang menyalahi undang-undang bagi tindakan lanjut.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN