PETALING JAYA: Bekalan plastik global kini terjejas susulan gangguan pengeluaran minyak dan gas, dengan stok dalam negara dilaporkan hanya mencukupi untuk sekurang-kurangnya dua bulan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, situasi itu berlaku ketika dunia kini memasuki gelombang kedua krisis global tenaga yang beralih daripada lonjakan harga kepada gangguan bekalan.
Katanya, ketidaktentuan di Selat Hormuz serta gangguan pengeluaran minyak dan gas memberi kesan langsung kepada bahan mentah utama seperti nafta, ammonia, ethylene dan propylene yang digunakan dalam pembuatan plastik.
“Plastik merupakan komponen asas dalam kehidupan harian melibatkan pembungkusan makanan, barangan pengguna serta peralatan sektor kesihatan.
“Apabila bekalan global terganggu, pengeluaran akan menjadi terhad dan kos akan meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada rantaian bekalan,” katanya dalam taklimat mingguan krisis global tenaga, hari ini.
Menurutnya, kesan gangguan tersebut dijangka dirasai secara berperingkat termasuk kemungkinan pelarasan harga barangan tertentu serta gangguan sementara bekalan.
Katanya, kerajaan kini mempergiat usaha mendapatkan sumber tambahan, memperluas kerjasama antarabangsa serta mencari bahan mentah alternatif bagi memastikan bekalan terus mencukupi.
“Bagi sektor kesihatan, Kementerian Kesihatan telah memperoleh bekalan tambahan nafta dan resin dari China bagi memastikan keperluan perubatan tidak terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan telah bertindak lebih awal dengan melaksanakan pendekatan menyeluruh bagi melindungi rakyat daripada kesan krisis tersebut.
“Pendekatan ini tertumpu kepada tiga strategi utama iaitu memastikan bekalan keperluan asas mencukupi, memanjangkan tempoh bekalan melalui pengurusan berhemah serta mengekang kenaikan harga menerusi pemantauan rapi dan tindakan tegas,” katanya.
Tambahnya, kerajaan tidak akan membiarkan rakyat menanggung tekanan krisis global itu secara bersendirian dan akan terus memastikan kehidupan harian rakyat kekal terpelihara.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai diseru supaya menggunakan sumber secara berhemah, mengelakkan pembaziran serta mengutamakan keperluan dalam menghadapi ketidaktentuan global ketika ini. – UTUSAN










