Lagu saduran AJL40: Saya hanya hargai karya mereka – Kelly Azman - Utusan Malaysia

Lagu saduran AJL40: Saya hanya hargai karya mereka – Kelly Azman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Personaliti media sosial, Kelly Azman tampil menjelaskan isu video kompilasi lagu saduran yang dimuat naiknya baru-baru ini selepas menerima kecaman daripada netizen.

Video tersebut memaparkan tiga buah lagu iaitu Lemah nyanyian Dayang Nurfaizah, Kamu oleh Aina Abdul dan Nurcinta nyanyian Amir Masdi yang berjaya mara ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-40.

Menurut Kelly, ramai tidak mengetahui bahawa ketiga-tiga lagu berkenaan sebenarnya telah lama dirakam olehnya sebagai lagu saduran sebelum diumumkan sebagai finalis AJL.

“Lagu-lagu itu sebenarnya sudah saya rakamkan sejak tahun lalu lagi. Cuma ramai yang tidak tahu kerana ia dibuat sebelum lagu tersebut layak ke AJL,” katanya.

Jelasnya, perkongsian semula video itu dibuat sebagai tanda sokongan terhadap karya tempatan yang berjaya mendapat pengiktirafan di pentas berprestij berkenaan.

“Saya berasa bangga apabila lagu yang pernah saya nyanyikan semula berjaya ke pentas AJL. Sebagai peminat muzik tempatan, ini cara saya menunjukkan sokongan kepada artis dan karya mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, Kelly mengakui berasa kecewa apabila niat baiknya itu disalah tafsir oleh segelintir pihak yang tampil mengkritik.

“Apa yang saya lakukan ini adalah usaha untuk menghargai karya mereka. Jadi apabila ada yang mengecam, saya tertanya-tanya juga apa sebenarnya masalah mereka,” katanya.

Kelly berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya JessC di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, JessC mengakui bersyukur apabila sekali lagi mencipta kejayaan di pentas muzik antarabangsa apabila karya pelbagai bahasanya menerima pengiktirafan global.

Jessic berkata, dia menghargai sokongan media tempatan serta lebih 30 negara di seluruh dunia atas sokongan berterusan, dan turut menyebut platform muzik antarabangsa Rolling Stone (Australia & UK) yang telah menamakannya sebagai ‘New Artists to Watch’.

Menurut JessC, karyanya kini dimainkan di pelbagai negara termasuk China, Amerika Syarikat, Eropah, Indonesia dan Australia, malah berjaya memasuki carta radio di China dan Indonesia, sekali gus membuktikan pengaruh muzik Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dari segi anugerah, JessC meraih pelbagai pengiktirafan di InterContinental Music Awards (ICMA) dan LIT Music Awards, termasuk Best Asian Pop menerusi lagu My Style, serta anugerah Platinum Best World Music bagi lagu Expose, Mari Menari Raya dan My Style. Lagu One Chance turut memenangi Best Song dan Best New Artist.

JessC menyatakan bahawa pengiktirafan terhadap karya dalam tiga bahasa merupakan sesuatu yang tidak dijangka, dan membuktikan bahawa muzik mampu merentasi batas bahasa dan budaya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada rakan kolaborasi Dato’ AC Mizal, di mana lagu Raya mereka telah menembusi pelbagai pasaran antarabangsa seperti UAE, radio di UK dan Amerika Selatan.

Selain itu, video Satu Suara Raya turut menerima jemputan ke festival filem pendek di Jepun, sekali gus memperkenalkan budaya Malaysia ke peringkat global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN