PETALING JAYA: Skuad bola tampar pantai negara terus mempamerkan semangat juang tinggi di pentas Sukan Pantai Asia Ke-6 apabila berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua sekali gus menempatkan Malaysia dalam kelompok 16 pasukan terbaik kejohanan, selaras dengan sasaran yang telah ditetapkan.
Bagi kategori wanita, prestasi cemerlang dipamerkan apabila skuad negara melakar kemenangan ke atas Syria dan Maldives dengan dengan keputusan 2-0, sekaligus membuktikan kesiapsiagaan pasukan dalam menghadapi cabaran di peringkat antarabangsa.
Skuad wanita kini berdepan ujian getir apabila dijadualkan menentang Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan E dan perlawanan ini amat penting bagi menentukan kedudukan juara kumpulan, lebih-lebih lagi Jepun dibarisi pemain berpengalaman termasuk atlet bertaraf Olimpik.
Sementara itu, skuad lelaki masih berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan apabila akan turun menentang Korea Selatan dalam perlawanan terakhir kumpulan selepas mencatat satu kemenangan ke atas Mongolia (2-0), namun tewas kepada Thailand dan Kazakhstan dengan keputusan 0-2.
Pengurus pasukan, Amalul Asyraf Rosli, menyifatkan pencapaian ini sebagai hasil komitmen tinggi seluruh pasukan.
“Alhamdulillah, kita berjaya mencapai sasaran awal untuk berada dalam kelompok 16 terbaik. Saya bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh pemain, khususnya skuad wanita yang mempamerkan prestasi sangat konsisten. Namun, fokus kita belum selesai kita mahu terus melangkah lebih jauh dan mencabar pasukan-pasukan terbaik Asia,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perlawanan menentang Jepun dan Korea Selatan akan menjadi kayu ukur sebenar keupayaan skuad negara.
“Ini peluang terbaik untuk pemain kita menimba pengalaman menentang pasukan bertaraf dunia. Kita tidak gentar, sebaliknya melihatnya sebagai pentas untuk membuktikan kemampuan Malaysia,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Pengerusi Bola Tampar Pantai Malaysia, Hean Boon Yeow, memuji pencapaian skuad negara yang disifatkan sebagai perkembangan positif sukan tersebut di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan melangkah ke pusingan kedua ini membuktikan bahawa program pembangunan dan persiapan yang dilaksanakan berada di landasan tepat. Saya melihat potensi besar dalam pasukan ini untuk terus berkembang dan memberi saingan lebih hebat pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar momentum ini diteruskan dengan disiplin dan fokus tinggi.
“Kita tidak boleh cepat berpuas hati. Setiap perlawanan selepas ini adalah penting dan memerlukan ketahanan mental serta strategi yang mantap. Saya yakin pasukan ini mampu mencipta lebih banyak kejayaan,” katanya lagi.
Secara keseluruhan, pencapaian semasa ini mencerminkan perkembangan positif bola tampar pantai negara serta keberkesanan perancangan dan persiapan pasukan. Fokus kini terarah kepada memperkemaskan strategi dan mengekalkan momentum kemenangan dalam usaha melangkah lebih jauh di kejohanan ini.
Skuad negara kini membawa harapan Malaysia untuk terus melakar kejayaan di bumi Sanya, dengan semangat juang tinggi dan keyakinan untuk bersaing dengan kuasa besar Asia.-UTUSAN










