68,120 OKU berdaftar di Johor - Utusan Malaysia

68,120 OKU berdaftar di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor merekodkan seramai 68,120 individu berstatus orang kurang upaya (OKU) berdaftar di negeri ini sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail berkata, bagi meningkatkan kadar pendaftaran, Johor merancang mengadakan kempen pendaftaran OKU awal tahun depan.

Katanya, ia bagi mengesan dan meningkatkan lagi pendaftaran OKU yang belum berdaftar supaya bantuan selayaknya dapat disalurkan kepada mereka selain memperkasa golongan berkenaan.

“Sehingga November ini terdapat 68,120 OKU di Johor membabitkan yang paling tinggi adalah OKU fizikal (24,268 orang), pembelajaran (23,892 orang) dan mental (6,498 orang). OKU penglihatan pula seramai 5,450 orang, pendengaran (4,428 orang), pertuturan (373 orang) manakala OKU pelbagai pula 3,208 orang.

“Kerajaan negeri menerusi JKM Johor sentiasa mengambil berat terhadap golongan kanak-kanak OKU yang juga kumpulan sasaran yang sentiasa diberi perhatian,” katanya menjawab soalan Datuk Zulkurnain Kamisan (BN-Sri Medan) pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, hari ini.

Zulkurnain bertanyakan jumlah terkini golongan OKU di Johor serta perancangan kerajaan negeri membantu golongan berkenaan.

Mengulas lanjut, Zaiton berkata, pihaknya akan mempromosikan permohonan pendaftaran OKU secara dalam talian menerusi Program MyDaftar OKU bagi mempermudah proses itu khususnya yang ketiadaupayaan jelas selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Jabatan Pembangunan OKU, JKM Putrajaya dan Johor juga sedang menambah baik Garis Panduan Pengoperasian bagi memantapkan Pengurusan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK). 

“Garis panduan ini merangkumi dari segi latihan dan pemulihan diberikan kepada kanak-kanak OKU yang menjalani pemulihan di PDK. Di samping itu, program pemulihan kepada pelatih juga akan dimantapkan melalui Rancangan Pembelajaran Individu (RPI) mengikut norma baharu dan SOP pencegahan dan kawalan penyakit Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN