Zaid mahu balas kepercayaan Pas, tekad bersihkan imej sebagai parti ekstrem

Zaid mahu balas kepercayaan Pas, tekad bersihkan imej sebagai parti ekstrem

ZAID Ibrahim menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa program Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan di Markas Pas Kawasan Seremban, Negeri Sembilan, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim mahu membersihkan imej Pas yang sering digambarkan sebagai sebuah parti ekstrem dan antidemokrasi.

Zaid berkata, usaha itu akan menjadi antara tanggungjawabnya selepas diterima secara rasmi sebagai ahli Pas oleh barisan kepimpinan tertinggi parti tersebut, semalam.

Beliau berkata, Pas merupakan satu-satunya parti majoriti Melayu yang mempunyai kekuatan dan keazaman untuk menghapuskan ketidaksamarataan, hegemoni serta keistimewaan berasaskan kelas.

Malah, beliau berkata, intipati Islam akan dijadikan prinsip utama dalam pemerintahan Pas.

“Di bawah pemerintahan Pas, tidak akan wujud keadaan apabila kita digambarkan sebagai sama rata namun sesetengah pihak dianggap lebih setara berbanding yang lain.

“Atas sebab itu, Pas akan memerintah Malaysia bersama Ahli-Ahli Parlimen progresif yang mempunyai pemikiran sehaluan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Zaid merupakan antara 15 individu yang diumumkan menyertai Pas ketika Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan di Markas Pas Kawasan Seremban, Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Zaid berkata, penyertaannya dalam Pas disambut baik oleh kepimpinan tertinggi parti itu yang disifatkannya sebagai mesra, ikhlas dan bersahabat.

“Saya diterima sebagai ahli Pas oleh barisan kepimpinan tertinggi parti itu malam tadi. Mereka mesra, ikhlas dan bersahabat. Saya akan membalas kepercayaan yang diberikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN