PETALING JAYA: Parti Bersama Malaysia (Bersama) menyasarkan sekitar 70 peratus calon yang bakal diketengahkan dalam pilihan raya akan datang adalah dalam kalangan individu berusia di bawah 50 tahun.
Parti itu malah menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus calon terdiri daripada wanita.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, sasaran tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan parti dalam memperkukuh struktur calon yang akan diketengahkan pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, ia bertujuan membuka ruang seluas-luasnya kepada wanita dan golongan muda untuk memohon serta melalui proses penilaian yang ditetapkan.
Bagaimanapun, beliau mengakui proses tersebut adalah rumit kerana perlu memadankan calon yang layak dengan kerusi yang sesuai berdasarkan faktor kaum, jantina dan kesesuaian kawasan.
“Berdasarkan rancangan saya dan Nik Nazmi, jika boleh kita mahu menetapkan bahawa sekitar 70 peratus calon Bersama adalah di bawah umur 50 tahun. Kemudian, jika boleh juga, kita mahu lebih 50 peratus calon adalah wanita, sama ada muda atau tua. Itu yang kita sasarkan.
“Apabila senarai calon yang benar-benar layak sudah dikenal pasti, kita perlu memadankan pula dengan kerusi yang sesuai. Ada kerusi lebih sesuai untuk calon Melayu, ada yang sesuai untuk calon Cina, India dan ada juga untuk wanita.
“Kalau boleh kita nak 50 peratus calon wanita dan 70 peratus di bawah 50 tahun. Tapi proses ini tidak mudah kerana kita perlu padankan dengan kerusi yang sesuai,” katanya dalam Jelajah Kancil Parti Bersama di Seremban Negeri Sembilan, malam tadi.
Menurutnya, proses pemilihan calon tidak boleh hanya berasaskan faktor jantina atau tuntutan individu semata-mata, sebaliknya perlu menekankan aspek kelayakan dan kemampuan seseorang untuk menjadi wakil rakyat serta pemimpin yang baik.
“Bukan hanya kerana ‘saya wanita, jadi saya layak dapat ini’. Kita mahu pastikan semua yang dipilih benar-benar layak dan mampu menjadi wakil rakyat serta pemimpin yang baik,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sikap “kaki bodek” tidak terhad kepada mana-mana kumpulan, sebaliknya wujud dalam semua lapisan masyarakat.
“Ini kerana sifat ‘kaki bodek’ ini ada dalam semua kumpulan, wanita ada, lelaki ada, orang tua ada, orang muda ada. Saya sendiri telah melalui pengalaman ini. Tiada istilah kaki bodek itu hanya datang daripada lelaki sahaja,” katanya.
HABIS
RAFIZI Ramli ketika berucap semasa Jelajah Kancil Parti Bersama di Seremban Negeri Sembilan, malam tadi.-FB BERSAMA










