PETALING JAYA: Kerajaan Johor tidak pernah diketepikan daripada mana-mana program rasmi melibatkan Kementerian Pengangkutan (MOT) seperti didakwa Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kenyataan itu adalah tidak benar memandangkan Onn Hafiz sendiri pernah menghadiri beberapa majlis utama kementerian berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook, Anthony Loke menyenaraikan beberapa program MOT yang dihadiri Onn Hafiz atau wakil kerajaan negeri bagi ‘menyegarkan kembali’ ingatan Menteri Besar itu.
Antara program yang disenaraikan ialah majlis berkaitan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link, perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) serta Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru.
“Terima kasih YAB Datuk Onn Hafiz atas kenyataan balas yang begitu panjang lebar dan kesudian YAB menerima jemputan saya untuk menaiki KTM Komuter Selatan.
“Izinkan saya ‘refresh’ ingatan YAB mengenai beberapa majlis MOT yang turut dihadiri oleh YAB sendiri atau Exco Kerajaan Negeri Johor,” katanya.
Menurut Anthony Loke, Onn Hafiz telah menghadiri Majlis RTS Link yang disaksikan Perdana Menteri Malaysia dan Singapura pada 11 Januari 2024 serta majlis ketibaan tren pertama RTS Link di Singapura pada 30 Jun tahun lalu.
Katanya, Menteri Besar Johor itu turut hadir pada pelancaran khas ETS3 dan perasmian Stesen KTM Kluang pada 23 Ogos tahun lalu, selain Majlis Penyempurnaan Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru serta pelancaran perkhidmatan ETS sehingga Johor Bahru pada 11 Disember lalu.
Anthony turut menyenaraikan beberapa program lain yang dihadiri wakil kerajaan negeri, antaranya majlis memorandum persefahaman pembinaan Kluang Heritage Railway Linear Park, lawatan kerja ke Kompleks Sultan Abu Bakar serta pembukaan semula landasan Pasir Gudang-Kempas Baru.
Bagaimanapun, beliau berkata, tiada wakil kerajaan negeri hadir pada Majlis Peluncuran MyLesenB2 untuk pelajar sekolah di Johor Bahru pada 11 Mei lalu walaupun jemputan telah diberikan.
“Saya faham musim pilihan raya memang sibuk. Mungkin ada benda yang terlupa. Lagipun, ada perbezaan antara lawatan kerja dengan majlis rasmi. Kalau setakat lawatan kerja saya, saya tidak mahu mengganggu masa YAB Menteri Besar,” katanya.
Anthony Loke berkata, surat jemputan rasmi bagi program KTM Komuter Selatan akan disampaikan kepada Onn Hafiz dalam kadar segera.
Katanya, Menteri Besar Johor itu turut akan dijemput menyampaikan ucapan pada program berkenaan yang dijadualkan berlangsung di Kulai, Selasa ini.
“Jumpa nanti Selasa di Kulai. Pihak kami juga akan menjemput YAB bagi sedikit ucapan,” katanya.
Dalam hantaran sama, Anthony turut membangkitkan tindakan Exco Pengangkutan Johor yang menaiki tren bagi sesi percubaan atau ‘dry run’ KTM Komuter Selatan pada 3 Mac lalu.
Menurutnya, sesi itu dilakukan ketika pelaksanaan perkhidmatan berkenaan masih belum dimuktamadkan dan tanpa memaklumkan kepada MOT.
“Tetapi saya tidak melatah,” katanya.
Terdahulu, Onn Hafiz menzahirkan rasa terharu dengan ‘jemputan ikhlas’ Anthony Loke untuk menghadiri program KTM Komuter Selatan yang dijadualkan berlangsung Selasa ini.
Bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu mendakwa masih belum menerima surat jemputan rasmi atau butiran lanjut daripada MOT.
Beliau turut membangkitkan beberapa program kementerian sebelum ini yang didakwa tidak melibatkan kerajaan negeri, termasuk lawatan berkaitan projek infrastruktur di Johor. – UTUSAN










