KLANG: Kementerian Pengangkutan bersedia menyediakan laluan pantas kepada pesara tentera yang berpengalaman membawa kenderaan berat dan trak untuk menjadi pemandu dalam sektor logistik.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia akan dilaksanakan bersama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) bagi menyelesaikan isu kekurangan pemandu dan memberi peluang kepada pesara bekerja sebagai pemandu kenderaan berat.
“Kita selalu dengar syarikat logistik tak cukup pemandu kerana permintaan meningkat tapi pemandu tidak ada. Kerajaan membantu berikan latihan percuma sehingga membantu mereka dapatkan Lesen Kelas E, yang memakan belanja sehingga RM4,000 seorang.
“Ada pengalaman membawa trak dalam tentera kita akan padankan mereka, buat program berikan lesen kepada mereka. Tukarkan lesen tentera mereka kepada lesen E di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) apabila bersara. Mereka boleh terus bekerja,” katanya, dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina dan Iftar Perdana Lembaga Pelabuhan Klang, semalam.
Jelasnya, inisiatif serampang dua mata itu memberi peluang kepada kebanyakan pesara tentera bersara dalam lingkungan umur 40an dan masih boleh bekerja dan kuat.
Malah, pihak syarikat logistik katanya terbuka dengan cadangan itu memandangkan veteran tentera mempunyai disiplin yang tinggi dalam melaksanakan tugas.
Tambah Anthony, kementeriannya akan membantu dengan menyediakan pangkalan data veteran tentera terlibat dan syarikat logistik boleh terus menggaji mereka sebaik sahaja anggota tentera bersara. – UTUSAN










