45 tindakan diambil babitkan isu harga melampau makanan bermasak - Utusan Malaysia

45 tindakan diambil babitkan isu harga melampau makanan bermasak

AZMAN Adam (kanan) membuat pemeriksaan di sebuah restoran ketika penguatkuasaan op menu dan harga barangan bagi di Kota Warisan, Sepang,Selangor. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG : Kementerian PerdaganganDalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengambil tindakan terhadap 45 kes membabitkan kenaikan harga makanan bermasak di seluruh negara sejak 6 November lalu.

Pengarah Penguat Kuasanya, Azman Adam berkata, tindakan itu diambil menerusi Op Menu membabitkan pemeriksaan ke atas 4,064 premis makanan di seluruh negara setakat hari ini.

Beliau berkata, antara kesalahan dikesan termasuk harga melampau, tiada tanda harga dan harga tidak sama pada buku menu.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan pemeriksan di beberapa buah restoran dan pasar raya di Kota Warisan, di sini malam ini.

Katanya, pihak akan meneruskan Op Menu sehinggalah peniaga patuh kepada undang-undang ditetapkan selain memberi jaminan kepada pengguna untuk terus berbelanja tanpa was-was.

Azman berkata, pihaknya juga mahu peniaga terus tampil ke hadapan jika berdepan isu kekeliruan harga ini beserta bukti kukuh termasuk resit pembelian supaya tindakan segera dapat diambil.

“Menerusi pemeriksaan hari ini, kami dapati masih ada peniaga yang melakukan kesalahan membabitkan kekeliruan dan penandaan harga makanan.

“Kita dapati tanda harga yang dipamerkan dengan tanda harga tertera di buku menu tidak sama iaitu beza harga antara 50 hingga 60 sen sekali gus mengelirukan pengguna.

“Malah, ada peniaga yang tidak meletakkan tanda harga bagi beberapa menu dan makanan yang dijual. Tindakan serta merta sudah diambil terhadap peniaga berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata, tinjauan barangan basah di sebuah pasar raya mendapati, bekalan seperti ikan, ayam dan sayur masih lagi ada biarpun pada waktu malam.

“Kita berharap semoga bekalan barangan itu akan berterusan dan mampu memberi harga munasabah kepada pengguna,” katanya.

Katanya, KPDNHEP juga akan terus melakukan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi mencari kardah terbaik menyekat kenaikan harga secara mendadak di pasaran. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya