MULA melakar nama menerusi rancangan pencarian bakat Youth With You 2 di China, siapa sangka bakat lakonan dimiliki Esther Yu membawanya terbang lebih jauh berbanding nyanyian. Gadis kelahiran Taipei, Taiwan ini mula mencuri tumpuan global menerusi drama Find Yourself menerusi karakter pelakon pembantu, Cai Minmin yang manja, naif dan kelakar.
Bermula dari situ, wanita berusia 33 tahun itu terus dilamar membintangi deretan drama popular sebagai watak utama seperti dalam naskah Love Between Fairy and Devil, My Journey to You (2023) and Love Game in Eastern Fantasy (2024).
Terkini, populariti Esther Yu semakin meledak apabila muncul dalam drama bersiri platform penstriman iQIYI, Jiang Mu dalam Speed and Love. Drama yang meraih tumpuan global itu menceritakan Jiang Mu dan Jin Zhao yang membesar bersama tetapi terpisah selepas ibu bapa bercerai.
Jiang Mu dibesarkan dengan hidup selesa berbanding Jin Zhao hidup merana di Thailand. Apabila sudah dewasa, Jiang Mun mencarinya di Thailand.

Melihat sambutan hangat drama tersebut, pihak iQIYI sebagai penyiar menerbangkan Esther Yu atau nama sebenarnya, Yu Shuxin ke Malaysia. Pelakon itu berkesempatan bertemu langsung dengan peminat menerusi acara khas, iQiyi Starship Project 2026 yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Ini kali kedua saya di Kuala Lumpur dan sangat terkejut kerana peminat saya di Malaysia sangat beradab. Saya juga kagum dengan kecantikan bandar raya Kuala Lumpur.
“Saya jadi teringin mahu berlakon dalam drama urban dengan latar belakang bangunan dan pencakar langit Malaysia yang indah,” katanya yang teringin terlibat dalam program berkonsepkan kembara dan makanan di Malaysia.
Tambah Esther, dia tidak menyangka persembahannya dalam Speed and Love turut membuka berpeluang kepadanya mendengar respons langsung daripada peminat di Malaysia.
“Terima kasih kepada anda yang menyukai karakter Jiang Mu. Saya juga tidak menyangka sambutan luar biasa yang diterima di peringkat global.
“Bagi membalas sokongan anda semua, saya berjanji akan bekerja keras untuk projek lakonan saya akan datang,” katanya.
Selain dilantik sebagai Duta Global Antarabangsa iQIYI, Esther turut menerima anugerah Watak Wanita Drama Cina Paling Popular 2025.
Terdahulu, kedatangan Esther Yu disambut kira-kira 500 peminat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Terharu dengan semua itu, pelakon antarabangsa itu menyifatkan peminat di Malaysia sangat beradab selain menunjukkan sikap yang ramah ketika menyapa kehadirannya.










