300 bakul makanan bantu B40 rai Chithirai Puthandu

300 bakul makanan bantu B40 rai Chithirai Puthandu

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 300 bakul makanan diagihkan kepada keluarga B40 sempena sambutan Tahun Baharu Tamil, Chithirai Puthandu bagi membantu meringankan beban mereka meraikan perayaan berkenaan.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan berkata, inisiatif itu turut melibatkan penyaluran bantuan tunai serta barangan keperluan harian bagi memastikan golongan sasar dapat dapat menyambut tahun baharu dengan kegembiraan.

“Kita menyambut Tahun Baharu Tamil ini dengan penuh kesyukuran kerana negara masih aman. Walaupun terdapat cabaran berkaitan krisis ekonomi, kita tetap bersyukur dapat meraikan sambutan ini bersama-sama mereka yang memerlukan,” katanya selepas menyempurnakan majlis Chithirai Puthandu Madani 2026 di Kuil Dewi Sri Maha Mariamman hari ini.

Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, pihaknya komited untuk terus memperbanyakkan program bantuan sosial di sekitar kawasan Parlimen Sungai Buloh selain memberi perhatian terhadap pengurusan kuil di kawasan tersebut.

Mengenai Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), beliau berkata, penyaluran dana bantuan kepada kuil yang telah diluluskan akan dilaksanakan bermula minggu depan.

“Bagi fasa pertama, kita akan menyalurkan bantuan kepada 300 buah kuil, manakala fasa kedua melibatkan lebih 300 lagi kuil. Secara keseluruhannya, lebih 600 buah kuil akan menerima manfaat ini,” katanya.

Ramanan berkata, MITRA telah merangka pelbagai perancangan baharu yang akan diumumkan secara berperingkat dalam masa terdekat.

“Tumpuan utama MITRA tahun ini adalah untuk memperkasa agenda pendidikan dan meningkatkan peluang pekerjaan kepada masyarakat India melalui peruntukan Belanjawan 2026,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×