PRN Johor: Rundingan agihan kerusi PH 'panas'

PRN Johor: Rundingan agihan kerusi PH ‘panas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Rundingan agihan kerusi dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) Johor bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) masih berjalan setelah terdapat pertindihan kerusi yang mahu ditandingi.

Difahamkan kerusi panas yang menjadi rebutan ketiga-tiga parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) ialah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Bukit Permai dan Puteri Wangsa.

Timbalan Pengerusi PH Johor, Teo Nie Ching berkata, isu rundingan agihan Kerusi itu akan dimuktamadkan dalam satu lagi mesyuarat penting yang dijadualkan akan diadakan pada bulan depan.

Katanya, walaupun masih belum dimuktamadkan, DAP Johor bertekad untuk mempertahankan kesemua 10 kerusi DUN yang dimenangi pada PRN Johor ke-15 yang lalu.

“Perbincangan lanjut mengenai agihan kerusi masih berjalan. Buat masa ini, saya tidak boleh mendedahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi kerana menghormati proses rundingan yang masih diadakan.

“Apa yang pasti, kita akan bertanding di semua kerusi yang dimenangi sebelum ini, selain turut mengenal pasti beberapa kerusi lain termasuk kerusi yang tidak dimenangi sebelum ini.

“Terdapat beberapa pertindihan kerusi dan kita berharap perkara ini dapat diselesaikan dalam mesyuarat yang akan datang,” katanya selepas menghadiri konvensyen Pemuda DAP Johor (DAPSY) di Ibu Pejabat DAP Johor, di sini hari ini.

Pada PRN Johor yang lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memperoleh 12 kerusi dengan 10 daripadanya dimenangi oleh DAP manakala PKR dan Amanah masing-masing menyumbang satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi dengan dua kerusi diperoleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan satu oleh Pas manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meraih satu kerusi.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai itu berkata, DAP Johor menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam PRN akan datang.

“Bagaimanapun, keputusan ini termaktub kepada kelulusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dan jawatankuasa pemilihan calon.

“Kita akan mengemukakan cadangan kepada CEC dan jawatankuasa berkenaan bagi menyatakan hasrat ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN