20 lelaki ditahan, sarang dadah digempur - Utusan Malaysia

20 lelaki ditahan, sarang dadah digempur

Antara lelaki yang ditahan dalam Op Sarang bagi menggempur sarang dadah sekitar Kota Kinabalu semalam.-IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pengedar dadah antara 20 lelaki yang ditahan dalam Op Sarang bagi menggempur sarang pengedaran dan penjualan dadah di empat lokasi di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, pihaknya turut merampas dadah jenis syabu seberat 70.09 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM7,009.

Beliau berkata, dalam operasi itu, seramai 36 individu diperiksa dan 20 lelaki ditahan atas kesalahan terlibat dalam pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Katanya, lelaki yang ditahan terdiri daripada 10 warga tempatan dan 10 warga asing yang berusia antara 19 hingga 47 tahun.

Kesemua mereka ditangkap di sekitar Kampung (Kg) Lok Buno, Taman Putrajaya, Kg Lapasan dan Kg Wak Wak dalam serbuan pada pukul 4.30 pagi.

“Dalam operasi ini, seorang lelaki warga asing yang memiliki syabu seberat 56.77 gram yang dimasukkan dalam 22 paket lutsinar berisi syabu.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala, seorang individu ditahan mengikut Seksyen 39A(1), lima individu ditahan di bawah Seksyen 12(2) dan 13 individu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Op Sarang ini disertai seramai lima pegawai dan 58 anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

Mohd. Zaidi berkata, usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah ini akan sentiasa diperhebat dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam.

Justeru, beliau meminta orang awam untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi meningkatkan lagi usaha membanteras jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN