Malaysia pertahankan kedaulatan negara kerjasama pelaburan luar negara

Malaysia pertahankan kedaulatan negara kerjasama pelaburan luar negara

ANWAR Ibrahim ketika majlis Pelancaran Pusat Inovasi & Makmal Al Huawei di The Exchange 106@TRX, Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tetap mempertahankan kedaulatan negara meskipun membuka kerjasama pelaburan dengan negara luar melibatkan syarikat asing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak akan menyerahkan keputusan paling penting merangkumi tadbir urus data, penggunaan sistem kecerdasan buatan (AI) dalam institusi awam serta cara teknologi baharu diperkenalkan dalam kehidupan rakyat.

Katanya, walaupun teknologi boleh datang dari mana-mana negara, segala peraturan berkaitan akan tetap ditentukan oleh Malaysia sendiri.

“Kita akan terus terbuka kepada pelaburan dari Timur dan Barat serta kerjasama dengan syarikat yang menghormati undang-undang dan keutamaan kita. Tetapi kita tidak akan menyerahkan keputusan paling penting.

“Bagaimana data kita ditadbir, bagaimana sistem AI digunakan dalam institusi awam dan bagaimana teknologi baharu diperkenalkan dalam kehidupan rakyat kita. Jadi, walaupun teknologi boleh datang dari mana-mana, peraturannya akan dibuat di Malaysia,” katany ketika berucap pada Majlis Pelancaran AI Lab dan Pusat Inovasi di The Exchange 106 TRX, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menjadikan pembangunan digital sebagai antara fokus utama dalam strategi pembangunan negara menerusi pelaksanaan asas transformasi digital.

Katanya, kerajaan turut menekankan kepentingan meningkatkan usaha dalam bidang AI supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat secara menyeluruh.

“Malaysia perlu mengejar teknologi baharu dengan lancar, fokus dan pantas agar tidak ketinggalan dalam persaingan global.

“Pada masa sama, perubahan teknologi perlu dipastikan tidak mewujudkan jurang lebih besar antara golongan kaya di bandar dengan masyarakat miskin di luar bandar dan kawasan pedalaman,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN