KUALA LUMPUR: Bapa dan abang kepada penyerang Balai Polis Ulu Tiram masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh pertama, Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 64 dan tertuduh kedua, Radin Romyullah, 36, selepas kedua-duanya mengaku salah atas pertuduhan yang didakwa ke atas mereka.
Radin Imran menghadapi empat pertuduhan berkaitan keganasan iaitu menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan serta memiliki buku berkaitan pengganas itu.
Kesalahan pertama hingga ketiga masing-masing dikenakan hukuman penjara 30 tahun manakala kesalahan keempat dikenakan hukuman penjara tiga tahun.
Radin Romyullah pula didakwa atas dua pertuduhan iaitu berbaiah kepada pemimpin Daesh dan memiliki cakera keras mengandungi bahan kumpulan pengganas itu, dengan hukuman penjara masing-masing 30 tahun dan tiga tahun.
Ibu penyerang, Rosna Jantan, 61, pula dikenakan hukuman penjara penjara empat tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan kepada pihak berkuasa.
Kesemua hukuman terhadap tertuduh diperintahkan berjalan serentak serta bermula dari tarikh tangkapan pada 17 Mei 2024.
Dua lagi tertuduh, Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 20, dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan. Selepas tamat prosiding, kedua-dua anak perempuan Radin Imran dan Rosna dilihat nenangis dan bersalam dengan ibu bapa dan abang mereka.
Kedua-dua gadis itu kemudian dilihat dibawa keluar daripada Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur oleh seorang wanita yang wanita yang memakai topi.
Semasa membacakan alasan penghakiman ringkas, Hakim Nurulhuda berkata, kesalahan yang dilakukan adalah amat serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dalam insiden serangan Balai Polis di Ulu Tiram.
Katanya, beban pembuktian terletak sepenuhnya pada pihak pendakwaan dan mahkamah mengambil kira bilangan saksi yang terlibat adalah ramai sebagai antara faktor pertimbangan.
Pengakuan salah oleh tertuduh boleh dilihat sebagai suatu faktor yang menjimatkan masa mahkamah.
“Walau bagaimanapun, pengakuan tersebut tidak boleh dianggap sebagai suatu diskaun dalam kes yang melibatkan kesalahan serius.
“Insiden di balai polis tersebut menunjukkan bagaimana suatu ideologi yang salah telah diterjemahkan kepada perlakuan jenayah yang membawa akibat yang amat tragis,” katanya.
Semasa serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, dua konstabel polis iaitu Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak selepas diserang seorang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden terbabit.
Pada prosiding hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar sambung bicara kes itu dengan soal balas saksi pendakwaan ketiga, penuntut institut pengajian swasta (IPTS), Muhamad Farhan Haiqim Mohd Isa, 24, namun peguam bela, Faizal Rahman yang mewakili kesemua tertuduh memaklumkan tiga daripada lima anak guamnya bersedia membuat pengakuan bersalah.
Terdahulu, Faizal memohon agar Radin Imran, Rosna dan anak mereka Radin Romyullah dikenakan hukuman penjara yang minimum kerana pertuduhan yang dikemukakan adalah atas elemen ideologi yang boleh dipulihkan dalam tempoh singkat.
Malah, katanya, kesemua tertuduh tidak terlibat dengan lain-lain kes membabitkan ideologi melampau.
“Daripada siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada pertuduhan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), kesemua tertuduh memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan.
“Pengakuan kesemua tertuduh sudah menjimatkan masa mahkamah dan kos pendakwaan. Perbicaraan juga baru memasuki saksi kelima daripada keseluruhan 37 saksi yang akan dikemukakan,” katanya.
Faizal turut memaklumkan tertuduh ketiga (Rosna) tidak mempunyai jenayah kesalahan lampau dan hanya menjual kuih-muih secara kecil-kecilan.
“Anak guam juga mempunyai penyakit diabetes, darah tinggi dan slip disc serta diusung menggunakan kerusi roda setiap hari ke mahkamah. Saya percaya hukuman penjara minimum mampu memulihkan kefahaman tertuduh,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam menghujahkan, kesalahan yang dilakukan amat serius, bersifat mengancam keselamatan negara, ketenteraman awam serta nyawa orang awam dan berada pada tahap sangat berat dalam kategori kesalahan keganasan.
“Kes terhadap tertuduh-tertuduh ini bukan kes sokongan pasif atau sekadar pemilikan bahan berkait kumpulan pengganas semata-mata.
“Sebaliknya, tertuduh-tertuduh telah menunjukkan komitmen ideologi yang mendalam terhadap Kumpulan Pengganas Daesh berdasarkan fakta kes yang diperakui oleh tertuduh pertama dan tertuduh kedua,” katanya.
Pendakwaan turut dibantu Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun, Maryam Jamielah Ab Manaf, Lokman Kasim dan Yazid Mustaqim Roslan manakala pembelaan dibantu oleh peguam bela, Fatima Zulaikha Ahmad Bashri.
Menurut fakta kes, Radin Romyullah pernah berangan-angan untuk membawa seluruh ahli keluarga menaiki van yang dipenuhi muatan bahan letupan dan menyerang perbarisan Hari Kemerdekaan dengan mensasarkan anggota keselamatan negara.
Radin Romyullah mengaku memiliki fahaman Salafiyah Jihadiyah yang diterapkan oleh bapanya dan sanggup menjalankan jihad qital (perjuangan bersenjata) memerangi pihak berkuasa yang melindungi kerajaan thaghut (melampaui batas) iaitu menyerang anggota polis di mana-mana lokasi.
“Tertuduh pertama sering mengkafirkan pihak yang tidak sehaluan dengan fahamannya serta menyampaikan dakwah berkenaan taghut, kebencian terhadap kerajaan dan pasukan keselamatan.
“Pada Jun 2014, tertuduh pertama bersama tertuduh kedua (Radin Romyullah) dan pelaku serangan (Radin Luqman) telah menonton video Daesh di rumah mereka dan telah melakukan bai’ah taat setia kepada Abu Bakar Al-Baghdadi yang merupakan pemimpin Kumpulan Pengganas IS.
“Setelah bai’ah tersebut, tertuduh pertama telah secara aktif menerapkan fahaman jihad kepada anak-anaknya dengan mengajar konsep jihad hati, jihad lisan dan jihad tangan (qital), termasuk mengangkat senjata terhadap pihak berkuasa yang dianggap taghut,” kata Norinna sewaktu membaca fakta kes itu. – UTUSAN










