Tujuh terkorban termasuk komander Jihad Islam dalam serangan Israel - Utusan Malaysia

Tujuh terkorban termasuk komander Jihad Islam dalam serangan Israel

ASAP kelihatan naik dari lokasi serangan udara Israel di Erzay, selatan Lebanon semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Serangan udara tentera Israel dilaporkan mengorbankan tujuh orang di Lubnan pada Ahad termasuk seorang komander kumpulan Jihad Islam dan dua orang kanak-kanak, lapor pihak berkuasa dan media rasmi Lubnan.

Insiden terbaharu ini berlaku di sebalik perjanjian gencatan senjata yang kian rapuh, ketika kumpulan Hezbollah menyifatkan rundingan tajaan Amerika Syarikat (AS) antara kedua-dua negara menemui jalan buntu.

Kementerian Kesihatan Lubnan mengeluarkan angka kematian awal yang mengesahkan tiga orang terkorban di pekan Tayr Felsay termasuk seorang kanak-kanak. Dua lagi terkorban di pekan Tayr Debba yang turut melibatkan seorang kanak-kanak. Seramai 11 orang dilaporkan cedera dalam serangan berkenaan.

Agensi berita National News Agency (NNA) Lubnan melaporkan satu serangan peluru berpandu Israel sekitar tengah malam menyasarkan sebuah apartmen di pinggir bandar Baalbek. 

Serangan itu mengorbankan komander Jihad Islam, Wael Abdel Halim, bersama anak perempuannya yang berusia 17 tahun.

Tentera Israel terus memperluas serangan di selatan Lubnan dan mengeluarkan amaran pemindahan kepada empat buah kampung berhampiran bandar pantai Sidon, yang terletak puluhan kilometer dari kawasan sempadan. 

Sementara itu, NNA turut mengesahkan jet pejuang Israel merempuh tiga daripada kampung berkenaan sejurus amaran dikeluarkan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam mesyuarat Kabinetnya menyatakan bahawa pasukannya kini sedang mengawal dan membersihkan wilayah Lubnan tetapi mengaku mereka berhadapan cabaran untuk meneutralkan dron yang kerap digunakan oleh Hezbollah.

Pertempuran terbaharu itu tercetus selepas utusan dari Israel dan Lubnan mengadakan rundingan pusingan ketiga di Washington, AS dan bersetuju untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata. Bagaimanapun, rundingan itu mendapat tentangan hebat daripada Hezbollah. – AFP

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN