Trump umum pemimpin Daesh di Nigeria terbunuh - Utusan Malaysia

Trump umum pemimpin Daesh di Nigeria terbunuh

GAMBAR fail tentera Nigeria berkawal di Monguno, Borno. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAGOS: Seorang pemimpin kanan kumpulan Daesh yang digambarkan sebagai ‘pengganas paling aktif di dunia’, telah terbunuh dalam operasi bersama pasukan Amerika Syarikat (AS) dan Nigeria di negara Afrika Barat itu, kata presiden kedua-dua negara.

Abu-Bilal al-Minuki, yang dikenakan sekatan oleh AS sejak 2023, merupakan orang kedua tertinggi dalam Daesh di peringkat global, menurut Presiden Amerika, Donald Trump dan kedua-dua angkatan tentera negara berkenaan.

Pembunuhan itu berlaku ketika aktiviti Daesh semakin tertumpu di Afrika. 

Aktiviti kumpulan itu mencatat rekod tertinggi sebanyak 86 peratus pada suku pertama 2026, meningkat daripada 49 peratus sepanjang tahun 2024, menurut laporan pemantau konflik global ACLED yang dikeluarkan minggu ini.

Trump berkata dalam hantaran di Truth Social miliknya yang mengumumkan pembunuhan itu bahawa: “Atas arahan saya, pasukan berani Amerika dan Angkatan Tentera Nigeria melaksanakan satu misi yang dirancang rapi dan sangat kompleks untuk menyingkirkan pengganas paling aktif di dunia dari medan pertempuran.”

Pasukan pertahanan Nigeria pula menyifatkan al-Minuki sebagai salah seorang ‘pengganas’ paling aktif di dunia.

Sebagai pengarah operasi global Daesh, al-Minuki memberikan panduan strategik berkaitan operasi media, kewangan, pembangunan dan pembuatan senjata, bahan letupan serta dron, menurut tentera Nigeria dan Pusat Pemerintah Afrika-Amerika Syarikat (AFRICOM).

“Al-Minuki merupakan pengganas paling aktif di dunia dan mempunyai sejarah penting dalam merancang serangan serta mengarahkan penculikan tebusan,” kata AFRICOM.

“Angkatan Tentera Nigeria, yang bekerjasama rapat dengan Angkatan Tentera Amerika telah menjalankan operasi bersama yang berani dan memberikan tamparan hebat kepada barisan Daesh,” kata Presiden Nigeria, Bola Tinubu ketika mengesahkan pembunuhan itu.

Tinubu berkata, al-Minuki, yang juga dikenali sebagai Abu-Mainok, terbunuh bersama beberapa pembantunya di kompleksnya di Lembangan Tasik Chad, kawasan bergolak yang merangkumi Nigeria, Niger, Chad dan Cameroon. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN