PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merekodkan keterangan seorang lelaki hari ini bagi membantu siasatan berhubung kandungan jelik melampau berunsur agama, raja, dan kaum (3R) terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
MCMC dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil rakaman percakapan individu terbabit iaitu pentadbir akaun Facebook, HuaYan The Pureland Learning Centre untuk membantu siasatan.
Katanya, pihaknya bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan kes berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta 588 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Manakala pihak PDRM menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala Seksyen 504 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda atau dipenjarakan selama tempoh dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali,” kata agensi itu dalam kenyataan.
MCMC memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau terhadap Institusi Diraja kerana boleh menjejaskan keyakinan awam serta keharmonian dan ketenteraman masyarakat.
“Orang ramai diingatkan menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab. Sebarang kandungan jelik, hasutan atau fitnah terutama membabitkan Institusi Diraja akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya.
Sementara itu polis sedang menyiasat pemilik akaun Facebook susulan hantaran gambar yang mengandungi unsur penghinaan terhadap Sultan Selangor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, polis telah mengenal pasti pentadbir termasuk tindakan merampas peranti yang digunakan untuk membuat hantaran berkenaan.
Kumar berkata, sebanyak 21 laporan polis diterima dan 21 saksi dipanggil serta dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- UTUSAN










