Polis siasat akaun hina Sultan Selangor

Polis siasat akaun hina Sultan Selangor

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menyiasat individu yang memuat naik hantaran gambar berunsur hinaan terhadap Sultan Selangor di laman Facebook pada Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, pihaknya telah mengenal pasti pemilik atau pentadbir akaun terbabit.

“Polis telah mengenal pasti pemilik akaun Facebook ‘Huayan The Pureland Learning Centre’ dan membuat siasatan kepada individu tersebut termasuk merampas peranti yang digunakan ketika membuat hantaran.

“Setakat ini, sebanyak 21 laporan polis telah diterima berkaitan isu yang sama daripada seluruh negara. Seramai 21 orang saksi termasuk individu yang membuat laporan telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan secara kolaborasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambah beliau, jika sabit kesalahan di bawah Akta Hasutan, pelaku boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia pula memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Beliau turut memberi amaran bahawa polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menyentuh isu sensitif melibatkan isu raja, kaum dan agama (3R).

“Kebebasan bersuara di bawah perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mempunyai limitasi, justeru orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN