Warisan nafi bertanding semua kerusi Parlimen pada PRU-15 - Utusan Malaysia

Warisan nafi bertanding semua kerusi Parlimen pada PRU-15

AWANG AHMAD SAH SAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menafikan laporan sebuah akhbar nasional yang menyatakan parti itu akan bertanding semua kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam dialog The Concorde Club yang diadakan secara dalam talian bersama pengarang-pengarang kanan akhbar baru-baru ini, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal hanya menyatakan kesediaan parti itu bertanding di Semenanjung Malaysia.

Tidak dinyatakan secara spesifik jumlah kerusi akan ditandingi pada PRU-15 dengan kerjasama Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari berkata, perbuatan menyebar berita tidak sahih itu merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan secara jelas ingin mengelirukan rakyat.

Ahmad Sah berkata, dalam program tersebut, Presiden Warisan tidak menyatakan berapa jumlah kerusi dan kawasan yang akan ditandingi kerana perkara ini masih di dalam pertimbangan dan perbincangan di peringkat pusat.

Walau bagaimanapun, kenyataan itu dimanupulasi sehingga ada yang sanggup menabur fitnah dalam media sosial kononnya Warisan akan bertanding di semua kerusi Parlimen pada PRU-15.

Ahmad Sah berkata, Warisan menolak dakwaan tersebut kerana pada masa ini, semua pemimpin Warisan di setiap peringkat sentiasa fokus mengangkat isu dan permasalahan rakyat yang memerlukan perhatian dan tindakan segera.

Pada Rabu, sebuah akhbar nasional melaporkan Warisan sedang membuat persediaan bertanding kesemua 222 kerusi parlimen pada PRU-15.

Keputusan bertanding di semua kerusi Parlimen itu dibuat di peringkat Majlis Tertinggi dan selari dengan langkah Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia.

Pada PRU-14, Warisan memenangi sembilan kerusi Parlimen di Sabah namun, satu kerusi kini masih kosong susulan penyandang kerusi Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia pada 2 Oktober tahun lalu.

Pada masa ini, Warisan mempunyai lapan kerusi Parlimen iaitu Mohd. Shafie (Semporna), Datuk Darell Leiking (Penampang), Datuk Mohd. Azis Jamman (Sepanggar), Datuk Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu), Datuk Rozman Isli (Labuan), Ahmad Hassan (Papar) dan Ma’mun Sulaiman (Kalabakan).- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya