PUTRAJAYA: Setiap kemudahan sektor sosial dan ekonomi yang diumumkan kerajaan sebelum ini dilaksanakan dengan syarat vaksinasi lengkap kekal bagi semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini berdasarkan perkembangan terkini peralihan fasa PPN bagi negeri-negeri di Malaysia dan mengambil kira dominasi varian Delta (94.9 peratus) dalam kalangan varian-varian baharu Covid-19 yang dikesan di dalam negara.
Beliau berkata, bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan disahkan pegawai perubatan.
“Perincian mengenai prosedur operasi standard (SOP) fasa pemulihan negara akan diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu terdekat.
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira keselamatan nyawa rakyat, mengukuhkan sistem kesihatan awam negara, melancarkan pembukaan semula ekonomi dan memastikan usaha kerajaan untuk memulakan proses peralihan ke fasa endemik dilakukan dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairy menegaskan, kejayaan membawa negara keluar dari pandemik ini tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan tetapi sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP ditetapkan.
Jelasnya, sekiranya masyarakat mengambil mudah kelonggaran diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali menjadi teruk.
Atas sebab itulah, kata beliau, tumpuan juga mesti diberikan kepada pendidikan masyarakat supaya seluruh masyarakat faham peranan mereka dalam usaha membawa negara keluar daripada pandemik ini.
“Anda kini adalah barisan hadapan untuk melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus Covid-19.
“Perkukuh tindakan kesihatan awam kendiri. Apabila anda mengalami gejala-gejala Covid-19, walaupun ringan, pastikan anda menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan sekiranya disahkan positif, lakukan tindakan bertanggungjawab dengan mengasingkan diri,” katanya.
Kerajaan pada 15 Jun lalu mengumumkan PPN yang merupakan satu strategi pembukaan semula aktiviti sosial dan ekonomi negara secara selamat dan juga strategi peralihan keluar secara berfasa dengan teratur dan sistematik dari kemelut pandemik Covid-19.
Pelan tersebut adalah satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan semua kembali kepada kehidupan harian biasa, namun langkah pembukaan semula sektor-sektor sosial dan ekonomi di dalam negara mestilah dilakukan dengan berhati-hati dan selamat. – UTUSAN ONLINE