Ekosistem TVET di politeknik, kolej komuniti diperkukuh dengan AI

Ekosistem TVET di politeknik, kolej komuniti diperkukuh dengan AI

ANESEE Ibrahim (tengah) bergambar kenangan bersama tetamu dan pelajar-pelajar pada majlis Anugerah TVET STAR POLYCC (ATSP) 2025 di Kuala Lumpur semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penstrukturan semula kurikulum yang mengintegrasikan elemen Kecerdasan Buatan (AI) dalam pembelajaran di politeknik dan kolej komuniti.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkata, usaha itu selari dengan aspirasi kerajaan yang meletakkan TVET sebagai antara fokus utama dalam pembangunan negara.

“Penstrukturan tersebut penting kerana AI bukan lagi sekadar alat sokongan malah menjadi satu keperluan dalam hampir semua bidang pendidikan dan pekerjaan.

“Kini, semakan semula kurikulum sedang dilakukan bagi memastikan kandungan pembelajaran di institusi TVET mengambil kira keperluan semasa industri yang semakin dipacu teknologi,” katanya psfs sidang akhbar pada Anugerah TVET STAR POLYCC (ATSP) 2025 di sini semalam.

Menurutnya, teknologi AI kini menjadi satu kemestian dalam mana-mana ekosistem pendidikan jika negara mahu melahirkan graduan yang benar-benar relevan dengan keperluan masa depan.

“Langkah memasukkan elemen AI dalam kurikulum TVET juga bertujuan melahirkan graduan yang bukan sahaja mampu memenuhi keperluan pasaran kerja, tetapi turut berupaya mencipta peluang pekerjaan sendiri,” katanya.

Tambahnya, agenda itu diperkukuh lagi menerusi peranan Majlis TVET Negara yang menghimpunkan 12 hingga 13 kementerian, termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai salah satu pemain utama dalam memperkasa sektor berkenaan.

“Politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi mempunyai kedudukan penting kerana kedua-dua institusi itu sememangnya berteraskan pendidikan TVET.

“Tanpa input daripada pihak industri sukar untuk pihak jabatan mengemaskini kurikulum pelajaran,” katanya.

Jelasnya, kolaborasi rapat dengan industri akan terus menjadi teras dalam proses penambahbaikan kurikulum supaya pelajar yang dilahirkan benar-benar menepati kehendak semasa dan masa hadapan.

Sementara itu, Anesee berkata, Anugerah TVET STAR POLYCC 2025 yang dianjurkan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menjadi pentas penting menzahirkan komitmen kerajaan dalam memartabatkan TVET sebagai laluan strategik pembangunan bakat negara di peringkat nasional dan antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN