Teheran kecam sekatan laut - Duta Iran ke PBB - Utusan Malaysia

Teheran kecam sekatan laut – Duta Iran ke PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR RAYA NEW YORK: Iran mengecam sekatan laut yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) di sekitar pelabuhannya pada Isnin sebagai satu pelanggaran serius terhadap kedaulatannya, ketika retorik tegang antara Washington dan Teheran menggugat gencatan senjata yang rapuh.

“Pengenaan sekatan maritim merupakan satu pelanggaran serius terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Republik Islam Iran,” tulis Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeid Iravani kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dalam sepucuk surat yang dilihat oleh AFP.

Sekatan yang disifatkan sebagai tidak sah itu juga merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip-prinsip asas undang-undang laut antarabangsa, tambah Iravani.

Presiden AS, Donald Trump pada Ahad mengarahkan sekatan ke atas kapal yang masuk atau keluar dari pelabuhan Iran dan kawasan pesisirnya di Teluk, susulan kegagalan rundingan damai pada hujung minggu lalu, sambil memberi amaran bahawa mana-mana bot serangan Iran yang mencabar sekatan itu akan dimusnahkan.

Sekatan tersebut mula berkuat kuasa pada jam 1400 GMT Isnin atau pukul 10 malam waktu Malaysia, walaupun Amerika dan Iran telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu beberapa hari sebelumnya.

Negara pengantara rundingan damai Pakistan dan negara Teluk, Qatar bagaimanapun  terus menggesa agar ia dihormati sementara usaha diplomatik diteruskan.

Guterres pada Isnin menyeru  semua pihak supaya menghormati kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, selepas Iran dan AS  menyekat laluan di perairan penting itu.

Selat tersebut, yang menjadi laluan bagi satu perlima aliran minyak dan gas dunia, telah menjadi titik panas utama ketika AS dan Iran cuba memperoleh kelebihan antara satu sama lain dalam rundingan gencatan senjata.

Iravani berkata, sekatan yang tidak sah itu  menimbulkan ancaman serius terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa serta jelas meningkatkan risiko peningkatan konflik di rantau yang sememangnya sangat tidak stabil.

Dalam surat kedua, utusan PBB itu menyeru negara-negara Asia Barat yang menjadi tuan rumah kepada pangkalan tentera Amerika supaya menghentikan tindakan salah di sisi undang-undang antarabangsa.

Menurutnya, Bahrain, Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Jordan perlu membayar pampasan bagi semua kerosakan material dan moral yang dialami – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN