Guna pelajar 'uji' tahap penguatkuasaan polis di Sungai Golok

Guna pelajar ‘uji’ tahap penguatkuasaan polis di Sungai Golok

MOHD. Yusoff Mamat (kanan) beramah mesra dengan anggota selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan mendedahkan ada pihak cuba ‘menguji’ tahap penguatkuasaan undang-undang di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini oleh pasukan itu dengan menjadikan pelajar sebagai ‘umpan’ untuk masuk ke negara ini melalui pangkalan haram di Sungai Golok.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat tersebut hasil risikan yang bertujuan melihat ketegasan pihak berkuasa membendung jenayah rentas sempadan.

“Kenapa tiba-tiba berlaku tangkapan pelajar melibatkan jumlah kuantiti besar?. Kita bimbang sekiranya ada pihak cuba provokasi dan uji penguatkuasaan kita.

“Jika kita lepaskan, mereka akan teruskan lagi selepas ini. Itu yang kita tidak mahu berlaku,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, tindakan tegas itu dibuat dengan mengambil kira kes lampau yang menyaksikan sindiket menggunakan pelajar bawah umur sebagai keldai dadah.

Katanya, tindakan itu membuatkan polis sama sekali tidak berkompromi dalam isu berkenaan memandangkan ia melibatkan keselamatan negara termasuk risiko penyeludupan termasuk dadah.

“Sebab itu saya tegas. Sudah ada kes sebelum ini melibatkan pelajar digunakan untuk membawa masuk dadah.

“Itu tujuan saya..bukan bermaksud tidak kompromi. Sampai ada cakap pada saya… Ketua Polis Kelantan langsung tidak ada budi bicara… tegas tidak bertempat mereka kata. Ini bukan soal tiada budi bicara, tetapi soal keselamatan dan undang-undang yang perlu kita laksanakan,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 34 orang pelajar sekolah yang ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas melakukan aktiviti rentas sempadan dengan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram untuk pergi ke sekolah dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi.

Kesemua pelajar dan murid-murid dari sekolah menengah dan dua sekolah rendah termasuk sekolah agama yang masing-masing berusia tujuh hingga 16 tahun itu dibebaskan kira-kira pukul 11.30 malam tadi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN