Remaja perempuan hisap vape 'mushroom' kelar leher sendiri

Remaja perempuan hisap vape ‘mushroom’ kelar leher sendiri

DZULKHAIRI MUKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bertindak mengelar leher serta kedua-dua tangannya sendiri di sebuah rumah di Jonker Walk di sini pada Ahad lalu dipercayai berada di bawah pengaruh vape jenis ‘mushroom’.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.33 malam itu, mangsa dipercayai bertindak sedemikian selepas mengalami tekanan emosi apabila dihalang keluar bersama teman lelakinya yang berusia 17 tahun.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang tinggal bersama ibu angkatnya bertindak mengelar leher dan kedua-dua tangannya menggunakan sebilah pisau di dalam bilik tidur di tingkat satu rumah berkenaan.

“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian leher dan kedua-dua belah tangan sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan kecemasan.

“Keadaan mangsa kini dilaporkan stabil dan telah dibenarkan keluar wad pada 27 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, hasil siasatan lanjut mendapati remaja terbabit dipercayai mula terjebak dengan tabiat menghisap vape sejak Februari lalu selepas diperkenalkan oleh teman lelakinya yang masih bersekolah di tingkatan empat.

“Keterangan mangsa mendapati vape jenis mushroom itu dibekalkan oleh teman lelakinya namun setakat ini tiada tangkapan dibuat dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, ibu angkat mangsa yang berusia 49 tahun mendakwa remaja terbabit berada di luar kawalan ketika kejadian dipercayai akibat pengaruh bahan tersebut.

Menurutnya, polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dipercayai wujud unsur kecuaian atau pengabaian terhadap mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN