TVET bukan lagi pilihan kedua - Ahmad Zahid

TVET bukan lagi pilihan kedua – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini bukan lagi pilihan kedua sebaliknya menjadi laluan utama kerjaya yang mampu melahirkan generasi profesional, pencipta teknologi, usahawan dan pemimpin industri masa depan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, oleh itu kerajaan terus komited memperkukuh agenda TVET sebagai antara pemacu utama pembangunan modal insan dan tonggak penting kepada pertumbuhan ekonomi masa hadapan.

“Saya percaya masa depan ekonomi negara akan banyak dipacu oleh tenaga kerja berkemahiran tinggi, teknologi baharu dan budaya inovasi.

“Sebagai usaha berterusan memperkukuh ekosistem TVET negara, kerajaan telah mengisytiharkan 2 Jun setiap tahun sebagai Hari TVET Negara.

“Langkah itu bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan TVET dalam membina masa depan negara yang lebih progresif, berdaya saing dan berteraskan kemahiran,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, sambutan Hari TVET Negara yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya pada 5 hingga 7 Jun ini bakal menghimpunkan institusi pendidikan, pemain industri, usahawan, belia dan masyarakat umum.

“Antara pengisian disediakan termasuk pameran teknologi dan inovasi, Karnival Kerjaya TVET, seminar industri berimpak tinggi, cabaran robotik dan Drone Soccer serta Future Skills Showcase.

“Selain itu, platform keusahawanan TVET dan pelbagai aktiviti santai serta interaktif untuk seisi keluarga turut disediakan,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, sambutan itu turut menjadi medan memperkukuh kerjasama strategik antara institusi TVET dan industri bagi memastikan bakat yang dilahirkan benar-benar memenuhi keperluan pasaran kerja semasa berteraskan teknologi, inovasi dan kemahiran.

Beliau berkata, sebanyak 1,398 institusi TVET di seluruh negara kini menjadi sebahagian daripada nadi utama pembangunan negara.

Katanya, seramai 229,121 pelajar atau 56.86 peratus lepasan SPM dan setaraf telah memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang TVET, manakala jumlah keseluruhan enrolmen pula telah mencecah 459,558 orang.

“Lebih membanggakan, kadar kebolehpasaran graduan TVET negara turut meningkat kepada 95.9 peratus pada tahun 2025 berbanding 95.6 peratus pada tahun sebelumnya.

“Pencapaian itu membuktikan TVET bukan sahaja mendapat tempat dalam kalangan generasi muda, malah berjaya melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan industri dan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN